JULAU: Pendedahan terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sejak sekolah rendah penting bagi menyediakan generasi baharu Sarawak memenuhi keperluan tenaga kerja berkemahiran tinggi pada masa hadapan.
Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien berkata, pendedahan pada peringkat awal penting untuk membina asas pengetahuan dan minat yang kukuh sebelum murid melangkah ke sekolah menengah.
Katanya, murid yang mula meminati STEM sejak sekolah rendah akan mempunyai peluang dan lebih mudah untuk mendalami bidang berkenaan apabila memasuki sekolah menengah.
“Apabila murid mempunyai asas yang baik dalam STEM sejak sekolah rendah, kita boleh terus memperkukuh penyertaan mereka dalam bidang ini, lebih-lebih lagi apabila kerajaan Sarawak turut memberikan sokongan termasuk membantu menampung pembiayaan pelajar dalam bidang tersebut,” katanya.
Larry berkata demikian ketika berucap pada Program Penangguhan Karnival STEM 1.0 di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Entaih, baru-baru ini.
Katanya, Sarawak perlu memastikan lebih ramai generasi baharu mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik bagi memenuhi permintaan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang semakin meningkat.
“Sarawak sudah mempunyai asas tenaga kerja yang baik, termasuk golongan profesional berkualiti dalam bidang STEM yang mampu menjadi pemangkin kepada kemasukan lebih banyak syarikat dan industri berskala besar ke negeri ini.
“Orang yang mempunyai pengetahuan dan ijazah dalam bidang STEM mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran kerja dan sering dicari syarikat, sama ada dalam atau luar negara.
“Sebagai contoh, di Kuching kita sudah mempunyai industri semikonduktor yang memerlukan ramai jurutera. Justeru, kita perlu memastikan tenaga kerja yang mencukupi bagi memenuhi keperluan industri ini,” katanya.
Beliau menegaskan, pembangunan bakat STEM bukan semata-mata untuk memenuhi keperluan pasaran kerja, tetapi turut menjadi asas kepada usaha Sarawak membangunkan ekonomi berteraskan pengetahuan, teknologi dan inovasi.
Penguasaan STEM dalam kalangan generasi baharu, katanya, juga mampu membantu Sarawak meningkatkan keupayaan menghasilkan produk bernilai tinggi selain memperluas potensi eksport produk tempatan ke pasaran antarabangsa.
Sehubungan dengan itu, Larry berkata, sokongan terhadap pelajar STEM perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang bagi memastikan generasi baharu Sarawak bersedia menghadapi perubahan struktur ekonomi dan keperluan industri global.
Pada program sama, beliau turut menyumbangkan RM15,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Ulu Entaih dan tambahan RM2,000 bagi menampung aktiviti lawatan sambil belajar murid ke lokasi yang ditetapkan.
Katanya, sumbangan dan aktiviti tersebut dapat memperluas pengalaman pembelajaran murid melalui pendedahan di luar bilik darjah, selaras dengan usaha memperkukuh minat mereka terhadap STEM.
Oleh Earl Anek





