
HYDERABAD: Hujan lebat dan ribut mengorbankan puluhan nyawa termasuk wanita dan kanak-kanak di negeri Uttar Pradesh, utara India.
Menurut laporan portal berita Hindustan Times semalam, angka kematian di seluruh negeri meningkat kepada 56 orang.
Sebanyak 16 kematian dilaporkan di daerah Prayagraj, 16 lagi di Bhadohi, sembilan di Fatehpur dan lima di Budaun.
Angin kencang turut mengakibatkan pokok tumbang serta merosakkan kediaman dan talian elektrik.
Sementara itu, kebanyakan penerbangan ke Delhi dilencongkan ke lapangan terbang Jaipur, Chandigarh dan Lucknow berikutan hujan lebat di wilayah ibu negara India (NCR) semalam, menurut laporan media tempatan.
Jabatan Meteorologi India meramalkan cuaca buruk di utara negara itu yang mungkin menjejaskan beberapa jadual penerbangan, menurut Delhi International Airport Limited dalam satu nasihat perjalanan pada petang Rabu.
“Cuaca buruk mungkin menjejaskan operasi penerbangan ke dan dari Delhi,” menurut Air India menerusi hantaran di X.
IndiGo pula memaklumkan operasi penerbangannya turut terjejas akibat cuaca buruk di Delhi. – Bernama