MALAM itu, mata menyusuri setiap baris kata dalam tiga buah puisi, iaitu “Diam” karya Azmin Sahran, “Anak Kaca (Generasi Z)” karya Walfred Anak Basin dan “Segalanya Sangon” karya Benjamin Asin.
Bacaan pertama membawa kepada bacaan kedua dan seterusnya bacaan ketiga. Daripada ketiga-tiga puisi tersebut, saya tertarik untuk menyelongkar sisi yang dapat mengesani emosi, minda dan hati pembaca. Untuk mencapai matlamat ini, sesebuah puisi perlu lebih daripada sekadar indah bahasanya.
Puisi harus mampu membuatkan pembaca berasa, berfikir dan membawa sesuatu kesan dalam hati setelah selesai membacanya. Inilah matlamat tinggi dalam penghasilan sesebuah puisi.
Antara elemen puisi yang dapat mencapai matlamat tersebut ialah keupayaan menyentuh emosi melalui pengalaman yang nyata. Penyair tidak seharusnya sekadar menyebut sedih, bahagia, kecewa, galau atau rindu, tetapi perlu menggambarkan emosi tersebut melalui situasi, imejan dan tindakan.
Bandingkan ungkapan “aku sangat merinduimu” dengan “namamu masih melekat di dada skrin meski jemari ini telah lama berhenti menari di lantai aksara”. Ungkapan kedua memberikan gambaran yang lebih jelas dan memungkinkan pembaca menghayati rasa rindu tersebut.
Begitu juga dengan imejan seperti “hujan mengetuk jendela seperti kenangan yang enggan pulang”. Imejan sedemikian menjadikan emosi lebih hidup kerana pembaca seolah-olah dapat melihat, mendengar dan merasainya.
Selain emosi, pembaca juga perlu diberikan ruang untuk berfikir melalui makna tersirat, persoalan dan paradoks. Perhatikan ungkapan, “Kita mengejar waktu / lalu mengapa waktu yang pergi / paling kita rindukan?”
Tiga baris yang ringkas ini bukan sekadar membangkitkan perasaan, malah memberikan ruang kepada pembaca untuk berhenti seketika dan memikirkan paradoks kehidupan.
Penggunaan simbol dan metafora turut memperkaya puisi kerana sesuatu simbol boleh membawa makna yang jauh lebih besar. Misalnya, lilin boleh melambangkan harapan, senja melambangkan pengakhiran atau perubahan, manakala benih dapat melambangkan permulaan dan harapan.
Namun begitu, penggunaan metafora yang berlebihan boleh menyebabkan makna menjadi kabur. Pemilihan perkataan juga penting. Kata yang sederhana tetapi tepat lazimnya lebih berkesan daripada bahasa yang terlalu berbunga-bunga.
Kesederhanaan juga mampu menghasilkan kesan yang mendalam, seperti dalam ungkapan, “Aku tidak takut kehilanganmu / Aku cuma takut / terbiasa tanpa kamu.”
Pengulangan yang terkawal pula dapat memberikan tekanan emosi kepada puisi. Misalnya, pengulangan “Aku menunggu” dalam baris “Aku menunggu pagi / Aku menunggu cahaya / Aku menunggu sesuatu / yang mungkin tidak akan kembali” menyebabkan emosi penantian terasa semakin berat.
Selain itu, puisi yang berkesan perlu memperlihatkan perkembangan emosi. Jangan biarkan puisi berada pada satu nada dari awal hingga akhir. Perubahan seperti rindu, kecewa, sedar, menerima dan akhirnya berharap dapat menjadikan pembaca seolah-olah melalui perjalanan emosi bersama-sama penyair.
Akhir sekali, puisi yang berkesan lazimnya mempunyai baris penutup yang melekat dalam minda dan hati pembaca. Baris terakhir tidak seharusnya sekadar menutup puisi, tetapi meninggalkan gema pemikiran. Misalnya, “Akhirnya aku mengerti / tidak semua perpisahan memisahkan kita / tetapi mengajar kita / menghargai sebelum kehilangan.”
Rumusannya, puisi yang mampu mengesani emosi, minda dan hati lazimnya menggabungkan tiga lapisan, iaitu emosi tentang apa yang dirasakan oleh pembaca, minda tentang perkara yang difikirkan atau dipersoalkan dan jiwa tentang sesuatu yang dibawa pulang selepas membaca baris terakhir. Jika ketiga-tiga lapisan ini hadir, sesebuah puisi biasanya akan terasa lebih mendalam dan meninggalkan kesan yang berpanjangan.
Kita mulakan dengan “Diam” karya Azmin Sahran. Puisi ini sangat ringkas, tetapi kekuatannya terletak pada pemadatan makna melalui paradoks “diam” dan “berkata”.
Penyair membuka minda pembaca dengan pengertian konvensional tentang diam melalui ungkapan “bibir berkatup” dan “tiada tala” sebelum membawa pembaca kepada pengertian diam yang lebih batiniah.
Azmin memilih diksi yang minimalis dan konseptual. Kata “diam”, “kata”, “bibir”, “tala” dan “raga” membina medan makna yang berkaitan dengan komunikasi lahiriah dan batiniah.
Pengulangan kata “diam” menjadi kata kunci dalam puisi ini. Menariknya, makna “diam” pada awal puisi berkembang apabila pembaca sampai ke penghujungnya. Perhatikan ungkapan “Diam — tala dalam raga tiada berselak.” Kata “tala” lazimnya merujuk kepada nada atau irama.
Apabila digandingkan dengan “raga”, kata tersebut seolah-olah membentuk gambaran tentang muzik batin yang tidak kedengaran secara zahir. Kekuatan utama puisi ini terletak pada paradoks “Berkata namun diam”.
Pernyataan tersebut menjadi kemuncak pemikiran puisi kerana seseorang tidak semestinya bersuara untuk menyampaikan sesuatu. Penggunaan tanda baca juga membantu menghasilkan tempo yang perlahan dan bersifat kontemplatif.
Perlambangan yang dihadirkan dalam “Diam” mempunyai fungsi tersendiri. “Bibir”, misalnya, melambangkan komunikasi fizikal, manakala “raga” melambangkan ruang batin manusia.
Secara perlahan-lahan, “diam” berkembang menjadi lambang kebijaksanaan, tembok emosi, renungan dan kematangan kerana tidak semua bentuk komunikasi memerlukan suara.
Dari sudut falsafah, puisi ini seolah-olah mengingatkan bahawa tidak semua kebenaran perlu diucapkan. Ada perkara yang hanya dapat difahami melalui keheningan.
Diam.
Ada kata — diam : bibir berkatup.
Ada kata — diam : tiada tala.
Kataku,
Diam — tala dalam raga tiada berselak.
Berkata namun diam.
Secara ringkasnya, kekuatan “Diam” terletak pada kepadatan makna, muatan falsafah dan penggunaan paradoks yang kuat. Dari segi kesan, puisi ini lebih kuat mengesani minda berbanding emosi kerana pembaca didorong untuk memikirkan makna diam yang tersirat.
Namun begitu, kesannya terhadap hati tetap hadir melalui gambaran tentang sesuatu yang tidak terucap dan perasaan yang tersembunyi. Jika ingin diperkemas, penyair boleh mempertimbangkan satu citra konkrit seperti malam, sungai, bayang atau daun untuk memberikan bentuk visual kepada konsep “diam” yang abstrak. Perubahan kecil ini sudah memadai kerana sifat puisi ini sememangnya minimalis.
Kita beralih pula kepada puisi kedua, “Anak Kaca (Generasi Z)” karya Walfred Anak Basin. Puisi ini paling kontemporari dan bersifat sosial antara ketiga-tiganya. Walfred menggunakan metafora “anak kaca” untuk menggambarkan Generasi Z yang membesar dalam dunia digital.
Penyair memilih diksi seperti “dunia yang bercahaya”, “jari lebih pantas daripada kata”, “skrin” dan “labirin cahaya biru” yang membina suasana digital serta psikologi generasi tersebut. Pemilihan kata “jari” juga berkesan kerana kata tersebut menjadi metonimi kepada budaya menaip, menggeser, menyukai dan berkomunikasi melalui peranti.
Dunia menuduh mereka hilang,
dalam labirin cahaya biru,
sedang mereka sedang mencari,
bahasa baru,
untuk perkara yang lama.
Dari sudut stilistika, metafora yang paling dominan ialah “labirin cahaya biru”. “Labirin” menggambarkan dunia digital yang kompleks dan mengelirukan, manakala “cahaya biru” membawa pembaca kepada dunia skrin dan peranti.
Yang menarik, Walfred tidak terus menghukum Generasi Z. Sebaliknya, berlaku pembalikan perspektif melalui ungkapan “Dunia menuduh mereka hilang” sedangkan “mereka sedang mencari / bahasa baru / untuk perkara yang lama”.
Bahagian ini merupakan salah satu kekuatan utama puisi kerana penyair mencabar stereotaip bahawa generasi muda telah “sesat” akibat teknologi. Sebaliknya, mereka sedang mencari cara baharu untuk memahami persoalan lama mengikut tuntutan zaman.
Dari aspek perlambangan, “anak kaca” merupakan simbol yang menarik. Kaca boleh memantulkan wajah, memperlihatkan dunia dan pada masa yang sama menjadi pemisah antara manusia dengan dunia sebenar.
Kaca juga bersifat rapuh. Oleh itu, “anak kaca” boleh ditafsirkan sebagai generasi yang terdedah dan mudah dilihat, tetapi pada masa yang sama mudah retak dari sudut psikologi. Puisi ini turut mengemukakan gagasan yang signifikan melalui ungkapan:
Jangan tanya mengapa mereka senyap,
kerana dalam senyap itu,
sedang berlangsung,
peperangan paling sunyi.
Ungkapan “peperangan paling sunyi” membuka ruang tafsiran yang luas, termasuk kesunyian digital, tekanan sosial, pencarian identiti, penerimaan diri serta konflik antara dunia nyata dengan dunia maya.
Oleh sebab itu, puisi ini sangat berkesan terhadap minda dan emosi. Pembaca bukan sahaja berfikir tentang Generasi Z, tetapi turut bersimpati terhadap perjuangan dalaman yang mungkin tidak kelihatan.
Jika ingin diperkemas, puisi ini boleh diperkukuh dengan satu atau dua citra alam sebagai kontra kepada dunia digital.
Unsur seperti akar, hujan, langit, sungai atau hutan boleh menjadi simbol dunia nyata yang semakin jauh daripada kehidupan generasi digital. Citra tersebut juga berpotensi memberikan keseimbangan antara dunia teknologi dengan dunia manusia.
Puisi ketiga, “Segalanya Sangon” karya Benjamin Asin, paling jelas memperlihatkan persoalan identiti etnik, budaya, alam dan warisan. Kata “sangon”, yang bermaksud “cantik” dalam bahasa Bidayuh, menjadi paksi puisi.
Dari aspek diksi, puisi ini dibina melalui tiga kata kunci, iaitu “bangsa”, “budaya” dan “warisan” yang kemudiannya dikaitkan dengan unsur alam dan tubuh manusia. Antaranya termasuklah “urat sungai”, “nadimu”, “degupan jantung”, “irama rimba” dan “api kecil”.
Teknik ini berkesan kerana identiti budaya tidak sekadar diterangkan secara abstrak, tetapi dihidupkan melalui tubuh manusia dan alam.
“Segalanya Sangon” menggunakan struktur anafora melalui pengulangan “Bangsamu sangon”, “Budayamu sangon” dan “Warisanmu sangon”. Pengulangan tersebut menghasilkan ritma yang bersifat deklaratif dan menjadikan puisi seolah-olah sebuah ikrar tentang identiti.
Teknik antitesis juga jelas melalui struktur “bukan…, tetapi…”, seperti “bukanlah warna kain / tetapi pada urat sungai”, “bukan pada gong pusaka / tetapi pada degupan jantung” dan “bukan pada kisah silam / tetapi pada api kecil”.
Struktur tersebut bukan sahaja memperlihatkan keindahan bentuk, malah menegaskan bahawa identiti budaya tidak bergantung pada lambang fizikal semata-mata.
Berbanding dengan kedua-dua puisi sebelumnya, puisi ini paling kaya dengan citra alam seperti sungai, rimba, matahari, hujan dan tanah. Semua unsur tersebut berfungsi sebagai lambang kesinambungan budaya.
Sungai dapat ditafsirkan sebagai aliran identiti, rimba sebagai ruang kehidupan dan budaya, api sebagai kesinambungan warisan, matahari sebagai lambang ketahanan, manakala hujan melambangkan pertumbuhan.
Dari sudut falsafah, puisi ini menegaskan bahawa warisan budaya tidak hidup hanya kerana disimpan, tetapi kerana terus diamalkan dan dibawa ke masa hadapan melalui ungkapan “api kecil / yang dibawa ke zaman moden”. Warisan bukan sekadar sesuatu yang dikenang sebagai masa lalu, sebaliknya perlu dihidupkan dalam kehidupan semasa.
Puisi ini kuat dari segi pengungkapan identiti. Namun demikian, terdapat beberapa perkara yang boleh diperkemas. Pertama, penggunaan kata “sangon” yang agak kerap berpotensi menghasilkan kesan repetisi.
Kata tersebut boleh dikekalkan sebagai refrain, tetapi setiap pengulangannya wajar membawa perkembangan makna. Kedua, baris “Bidayuh sangon” boleh diperhalus supaya hubungan antara “Bidayuh” dengan “sangon” lebih bersifat puitis dan tidak sekadar berupa pernyataan.
Ketiga, penyair boleh memasukkan satu citra budaya Bidayuh yang lebih khusus agar identiti puisi menjadi lebih tersendiri dan tidak terlalu umum.
Secara keseluruhannya, ketiga-tiga puisi mempunyai teras idea yang jelas, tetapi masing-masing mengesani emosi, minda dan hati melalui pendekatan yang berbeza.
“Diam” membawa pembaca kepada ruang renungan diri melalui paradoks dan keheningan. “Anak Kaca (Generasi Z)” pula membawa pembaca menelusuri keresahan generasi muda dalam dunia digital, manakala “Segalanya Sangon” membangkitkan kesedaran tentang identiti, kebanggaan dan kesinambungan warisan budaya.
“Diam” paling kuat mengesani minda kerana kepadatan makna dan paradoksnya membuatkan pembaca terus mempersoalkan makna diam. “Anak Kaca (Generasi Z)” pula lebih menonjol dari segi emosi dan minda kerana puisi ini mencabar stereotaip terhadap Generasi Z sambil membangkitkan rasa simpati terhadap perjuangan dalaman mereka. “Segalanya Sangon” pula lebih kuat dari segi hati dan emosi kerana puisi ini menyemai rasa bangga, cinta dan tanggungjawab terhadap budaya serta warisan.
Ketiga-tiga puisi ini mempunyai satu persamaan yang penting, iaitu terdapat sesuatu yang tidak dikatakan secara langsung. Dalam “Diam”, suara batin tersembunyi di sebalik keheningan.
Dalam “Anak Kaca (Generasi Z)”, perjuangan generasi muda tidak kelihatan di sebalik kehidupan digital. Dalam “Segalanya Sangon” pula, identiti budaya tidak hanya terletak pada simbol yang kelihatan, tetapi terus hidup dalam jiwa dan amalan masyarakat. Ruang yang tidak dikatakan secara langsung inilah yang membolehkan pembaca masuk dengan pengalaman mereka sendiri.
Kesimpulannya, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa ketiga-tiga puisi ini berjaya mengesani emosi, minda dan hati tetapi pada medan yang berbeza. “Diam” membuatkan kita berfikir, “Anak Kaca (Generasi Z)” membuatkan kita memahami dan merasai manakala “Segalanya Sangon” membuatkan kita menghargai dan berbangga dengan warisan budaya.
Ketiga-tiganya membuktikan bahawa puisi yang baik tidak semestinya menjelaskan segala-galanya kepada pembaca. Sebaliknya, puisi yang berkesan meninggalkan ruang untuk pembaca mentafsir, merasakan dan menemukan makna melalui pengalaman sendiri. Pada titik itulah puisi bukan sekadar dibaca tetapi dihayati dan dibawa ‘pulang’ sebagai suatu bentuk tarbiah atau pendidikan jiwa!
Oleh Dayang Azizah Mohd Salleh





