Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WBS
  • PUISI
  • WBS

PUISI

Utusan Sarawak 2 years ago

Tuah Ibu Pertiwiku

Sarawak Ibu Pertiwi tempat aku dilahirkan,

Melihat dunia yang penuh kemahsyuran,

Namun, aku sedari bebasnya hari ini

hasil perjuangan di masa silam,

Atma kesatria tergadai

bukti renjana tersemai.

1963 tahun yang keramat,

Engkau dibebaskan kembali dalam dakapan,

Dihiasi kemodenan di pelusuk

kota marcapada,

Menjulang kemajuan Sarawak

gah merdeka maju dan makmur.

Enam dekad lamanya bersaksikan ketekunan,

Pelbagai kemudahan satu persatu dibangunkan,

Kemapanan yang ketara hikmah kebebasan

yang lama diperjuangkan.

Kini 60 tahun usia kemerdekaanmu,

ibu pertiwiku.

Megahnya berkibar bendera tanah airku,

Dihembus bayu yang sayup membisu,

Akanku semai sumpah setiaku,

Mendahagakan kedamaian

dan kemakmuran yang satu.

Kita bersatu dengan semangat yang jitu,

Mengharapkan keharmonian

yang mahsyur selalu,

Perbezaan antara kita

bukanlah ukur penentu,

Namun, hati yang bersatu

menjanjikan kebaikan beribu.

Bangsa bersatu perjuangan yang padu,

Bumi Sarawak terus maju mengharungi liku,

Pembangunan pesat menongkah arus pemodenan,

Arifnya pemimpin bertonggakan keimanan dan

sumpah dilafazkan.

Aku bangga dengan ibu pertiwiku,

Kendatipun aku bukan pejuang merdeka,

Namun di sini aku diajar erti berkorban,

Diajar juga erti ketaatan,

Juga diajar ertinya kesetiaan,

Demi tanah airku yang maju dan makmur,

Akulah pejuang generasi tanah airku.

Masnini Yani Shukri

Institut Pendidikan Guru Kampus Rajang

Malaysiaku Terus Merdeka

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

66 kali laungan keramat ini kedengaran

Tanda peringatan sejarah permulaan

Terbentuknya sebuah persekutuan

Enam tahun kemudian demi kelangsungan

Lahirnya negara bangsa yang penuh persamaan

Biarpun terpisah dek luasnya lautan.

Malaysia Madani kini tunjang kemampanan

Agar kesejahteraan rakyat diutamakan

Dalam segenap usaha dan perancangan

Amanah digalas dan disaluti keluhuran

Namun usah leka dibuai kealpaan

Ihsan wajib disemai tanpa batasan.

Maju gemilang Malaysia kebanggaanku

Agar terus gagah menuju era baharu

Lambang kesatuan rakyat yang padu

Adat dan budaya tetap ditatang selalu

Yakinlah! Maralah! Di seantero dunia ini

Setia berbakti demi negara yang dijulang tinggi

Inilah janji dan harapan setiap warga

Aman, makmur dan merdeka selamanya.

Niniefadzillea Iswandi,

DBP Cawangan Sarawak

Rintihan Mama di Persada Merdeka

Anakku

Hari itu mama lihat

Selubung melitupi keindahanmu

Keayuanmu tertampan di pandangan

Halus bicaramu membelai kerohanian

Gerak langkahmu itulah keturunan

Walau bangsamu dijajah walau resammu diratah

Namun, kau tetap gagah

Segagah, setabah adiputra dari berantah.

Kerana bagimu

Segak langkahmu itulah ketentuan

Tersadung kekeliruan, disedarkan pedoman datukmu

Kukuhnya dirianmu tak bisa digoyahkan

Yang benar, yang nyata itulah ketetapan

Pesan moyangmu berlegar difikiran

BIAR MATI ANAK JANGAN MATI ADAT.

Tetapi anakku

Hari ini mama lihat

Calitan noda menghiasi rupamu

Pesonamu kauserlahkan di bingkai tak bermaruah

Santunmu kau lontarkan ke lembah tak berwarna

Mengaburi indera, memesong minda

Segak langkahmu di landasan pura

Kukuh dirianmu telah tiada

Kau goyah, kau lemah, kau rebah.

Anakku

Sedarlah, bangunlah,

Bangkitlah kau dari kealpaanmu

sedarlah kau dari igauanmu

Tidakkah kau tahu? Tidakkah kau mengerti?

Kita sudah bebas kita sudah merdeka.

Tapi, mengapa anakku

Kau biarkan

Kau relakan

Dirimu dijajah, diratah

Kau dijajah nafsumu

Kau diratah mimpi alpamu

Kau lupa pedoman datukmu

Kau tersasar pesan moyangmu

Kau sisihkan ayahmu

Kau lupakan aku mamamu

Mama yang ajarmu tentang adab

Mama yang ajarmu tentang adat.

Anakku, inikah kemerdekaan bagimu?

Wan L.S @ Wan Mahala Wan Ini

Continue Reading

Previous: Tujuh
Next: Secantik Bunga Daisi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.