KUCHING: Parti Rakyat Sarawak (PRS) membidas kenyataan Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) Dato’ Sri Wong Soong Koh berkenaan pembangunan infrastruktur di Baleh dan Tunoh.
Wong dilaporkan oleh dua media tempatan Bahasa Cina menyatakan bahawa infrastruktur terutamanya jalan raya di Baleh dalam keadaan menyedihkan walaupun Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing adalah Menteri Infrastruktur dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh serta gagal untuk membangunkan infrasktur di kawasan Baleh.
Menurut PRS dalam kenyataan semalam, Jalan Ng Mujong dan Ng Sepanggil-Tunoh sedang dalam pembinaan, oleh itu keadaan yang buruk adalah keadaan yang normal pada waktu ini dan bertentangan dengan apa yang dikatakan oleh Wong.
“Hampir RM3 bilion telah diperuntukkan untuk pembangunan infrastruktur di Baleh, yang terdiri daripada Jalan Ng Mujong 73 kilometer (km) (jalan masuk ke Empangan Baleh yang dicadangkan) dengan kos RM1.2 bilion sedang dalam pembinaan.
“Kedua adalah di Ng Sepanggil-Tunoh (jalan masuk ke Tunoh) dengan kos RM600 juta sedang dalam pembinaan, ketiga Jalan Rh Nyamok/Ng Serau/Ng Gaat/SMK Baleh/Sg Kain dengan kos RM380 juta (2 fasa) akan mula dibina menjelang akhir tahun 2020.
“Seterusnya adalah jalan menuju Tunoh (Ng Mujong/Ng Tiau/Tunoh) dengan anggaran kos RM550 juta telah diluluskan untuk dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia ke-12,” kata PRS.
Tambah kenyataan itu, Jambatan Batang Baleh, Jambatan Sg Mujong dan Jambatan Sg Banyau telah siap dengan kos RM123 juta, manakala Jambatan Sg Merirai bernilai RM3.9 juta sedang dalam pembinaan.
“Fakta ini jelas membuktikan Masing telah berjaya membawa pembangunan infrastruktur bernilai berbilion ringgit ke Baleh, yang juga menjadi bukti usaha bersungguh-sungguh Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam membangun kawasan luar bandar.
“Wong berbangga membina jalan raya ke semua rumah panjang di kawasan Bawang Assan dan dengan itu beliau merendahkan pencapaian Masing di Baleh.
“Sebaliknya, apa yang tidak dapat dinafikan adalah bahawa Masing telah menjadi Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan selama empat tahun sahaja projek di jalan Sg Bidut/Kpg Tutus/Kpg Sebedil/Kpg Bungan diluluskan,” kata PRS.
PRS berkata, jalan tersebut dalam kawasan Bawang Assan sedang dalam pembinaan dan Wong mempersoalkan keputusan kerajaan Sarawak untuk membina lapangan terbang di Tunoh kerana Tunoh masih belum berkembang.
“Pada 25 April 2019, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyatakan keputusan Kerajaan Sarawak untuk membina lapangan terbang di Tunoh, Kapit dibuat sebagai sebahagian daripada rancangan dasar jangka panjang untuk kawasan itu.
“Ketika mempersoalkan keputusan tersebut, Wong menunjukkan bahawa dia menentang pembangunan kawasan luar bandar.
Bagi seseorang yang bergantung kepada penyokong luar bandar untuk mendapatkan sokongan, Wong telah menunjukkan dirinya bertentangan dengan apa yang dikatakan,” tegas PRS.
Oleh Zarina Abdullah