
BINTANGOR: Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii menerusi Program Mesra Rakyat (PMR) 2025 telah memperuntukkan dana bagi membina tapak parkir di Rumah Suda, Sungai Lelabi.
Katanya, projek ini dijangka memberi manfaat kepada 14 isi rumah di kawasan tersebut dengan menyediakan kemudahan parkir yang lebih selesa dan tersusun.
“Selain digunakan untuk meletakkan kenderaan, kawasan rata tersebut juga boleh dimanfaatkan sebagai ruang serbaguna seperti tempat menjemur hasil tanaman dan aktiviti harian penduduk.
“Pembangunan infrastruktur asas seperti ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memastikan kesejahteraan rakyat di kawasan luar bandar tidak terpinggir.
“Projek tapak letak kereta di halaman Rumah Suda ini diharap dapat meningkatkan keselesaan serta memudahkan aktiviti harian penduduk,” katanya ketika dihubungi.
Tiong Sii berkata, kerajaan melalui PMR akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat langsung kepada rakyat, khususnya masyarakat di kawasan rumah panjang.
Baru-baru ini, Wong Soon Mee selaku wakil Tiong Sii telah turun padang meninjau tapak projek serta berbincang dengan penduduk bagi memahami keperluan mereka.
Turut hadir Penolong Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Sarikei, Nash Tasha.
Oleh Earl Anek