

DATO Mohd Chee Kadir menghadiri sesi perbincangan dan lawatan tapak projek pembangunan semula sekolah daif di SK Haji Junid Gerigat, semalam. Foto ADUN Kabong
KABONG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir telah menghadiri sesi perbincangan dan lawatan tapak projek pembangunan semula sekolah daif di Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Junid Gerigat, semalam.
Menurut beliau, projek ini adalah salah satu projek pembangunan semula sekolah daif di Sarawak menggunakan peruntukan RM1 bilion (fasa 1) di SK Haji Junid Gerigat Kabong dibawah seliaan agensi Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan dilaksanakan oleh Syarikat DHC Enterprise.
“Untuk rekod, secara purata kerja siap adalah sebanyak 90 peratus. Pihak kontraktor memberi jaminan serta komitmen projek ini akan siap sepenuhnya pada penghujung bulan ini,” katanya.
Chee Kadir menjelaskan, sebanyak tiga projek untuk membangunkan sekolah terbabit telah berjaya disiapkan sepenuhnya menerusi peruntukan berjumlah RM600,000 daripada Program Transformasi Luar Bandar (RTP).
“Saya sebagai wakil rakyat di kawasan ini, akan bantu apa sahaja program yang memberi manfaat bagi meningkatkan kualiti pendidikan pelajar di DUN Kabong ini khasnya.
“Dan saya akan terus meminta kerjasama daripada pihak sekolah serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Saratok untuk memastikan bantuan serta kemudahan prasarana sekolah di daerah ini berada pada tahap yang lebih baik,” ujarnya.
Turut hadir, Jurutera Bahagian, JKR Bahagian Betong, Jason Ng Boon Tuan, Penolong Jurutera Bahagian, Ir Ts Muhammad Kashral Kamalmirza, Jurutera Tapak, Ts Hazlami Mohammad Yusop, Penolong Jurutera Tapak, Bansing Tijun, Penolong PPD Sektor Pembangunan Bakat Murid, PPD Saratok, Zulkarnain Ahmad dan Guru Besar SK Haji Junid Gerigat, Jamel Razali.
Oleh Adi Safarman