KUCHING: Projek Perumahan Petra Vistana (Taman Koperkasa) di Jalan Matang di sini dijangka siap pada 2030.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia bagi membantu mengurangkan masalah perumahan di Bandaraya Kuching, sekali gus membantu anggota Koperasi Koperkasa Sarawak Berhad (Koperkasa) untuk memiliki rumah.
“Dibina di kawasan seluas 35.5 hektar, projek perumahan yang dinamakan Petra Vistana itu akan dibangunkan dalam lima fasa dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh lapan tahun, iaitu pada 2030.
“Saya yakin ini satu permulaan yang baik kepada Koperkasa yang ahli-ahlinya adalah anggota kerajaan negeri dan persekutuan selain syarikat berkaitan kerajaan,”katanya.
Abang Johari berkata demikian pada majlis pecah tanah projek erumahan Petra Vistana (Taman Koperkasa) hari ini. Teks ucapan beliau dibaca Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Dato Sri Dr Sim Kui Hian.
Abang Johari juga menasihatkan orang ramai untuk memanfaatkan skim yang disediakan kerajaan Sarawak, iaitu bantuan RM10,000 untuk pembeli rumah pertama membayar deposit pinjaman perumahan bagi membeli kediaman sendiri.
Projek Perumahan Petra Vistana yang diuruskan oleh syarikat Green Summit Development Sdn Bhd meliputi 739 unit rumah teres, 68 unit rumah dua tingkat, 28 unit rumah berkembar dan 40 unit rumah kedai.