
BINTULU: Kemudahan komuniti yang lebih selesa serta kesiapsiagaan menghadapi bencana dalam kalangan penduduk terus diperkukuh menerusi pelaksanaan dua projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, projek pembinaan Rumah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kuala Segan bernilai hampir RM200,000 bakal menyediakan ruang yang lebih kondusif untuk aktiviti masyarakat setempat.

Menurut beliau, kemudahan baharu itu turut direka bentuk bagi menghadapi cabaran banjir dengan pembinaannya menggunakan struktur konkrit serta ditinggikan kira-kira 0.91 meter berbanding paras asal.
“Selain menjadi pusat aktiviti komuniti, rumah JKKK ini juga boleh digunakan sebagai tempat perlindungan sementara sekiranya berlaku banjir atau kebakaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas meninjau pelaksanaan projek RTP di Kampung Kuala Segan dan Kampung Kemunting di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Iskandar berkata projek pembinaan parit sepanjang 90 meter di Kampung Kemunting dengan kos kira-kira RM100,000 pula dilaksanakan bagi meningkatkan sistem saliran di kawasan yang sering terjejas akibat banjir.
Katanya, projek tersebut akan memberi manfaat kepada penduduk yang tinggal berhampiran kawasan rendah dan berdepan risiko limpahan air ketika hujan lebat serta air pasang.
Menurut beliau, reka bentuk saliran itu akan mengambil kira keadaan muara sungai bagi membantu mengawal aliran air sebelum memasuki kawasan kediaman.

Tambahnya, kedua-dua projek berkenaan merupakan antara inisiatif berterusan kerajaan Sarawak dalam memastikan kemudahan asas dan infrastruktur komuniti luar bandar sentiasa dipertingkat mengikut keperluan semasa penduduk.
“Projek seperti ini bukan sahaja meningkatkan kemudahan untuk rakyat, malah membantu mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan selesa untuk komuniti setempat,” ujarnya.
Oleh Carolyne Utih