
KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) berjaya menyiapkan projek pelebaran Jalan Pei Yuan Sungai Moyan 3, selepas pemeriksaan akhir dilaksanakan hari ini.
Pengerusi MPP, Tan Kai berkata, projek itu melibatkan pelebaran jalan sepanjang 605 meter dengan tambahan lebar dua meter bagi meningkatkan tahap keselamatan, melancarkan aliran trafik serta menambah baik aksesibiliti penduduk dan pengguna jalan raya di kawasan berkenaan.
Beliau menjalankan pemeriksaan akhir bersama pegawai MPP serta wakil kontraktor, Syarikat C.J. Serin, bagi memastikan kerja-kerja yang dilaksanakan mematuhi skop dan spesifikasi yang ditetapkan.
Menurutnya, projek tersebut mencerminkan komitmen berterusan MPP dalam menaik taraf infrastruktur awam demi memenuhi keperluan komuniti yang semakin berkembang di kawasan Batu Kawah.
“Dengan siapnya projek ini, penduduk dan pengguna jalan raya akan menikmati perjalanan yang lebih selesa dan selamat,” katanya.
Tan turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat atas kerjasama, komitmen dan usaha mereka dalam memastikan projek itu dapat disiapkan dengan jayanya.
Oleh Connie Chieng