KUCHING: Pelaksanaan Projek Neu Pendington yang dibangunkan oleh UDA Holdings Berhad (UDA) dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) akan memberi impak positif kepada ekonomi negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pembangunan projek tersebut yang akan dihubungkan dengan stesen Transit Aliran Automasi (ART) merangkumi kawasan hartanah termasuk hotel, pusat beli-belah, kondominium dan kawasan perumahan.
”Ini (projek) akan dihubungkan dengan kawasan Petra Jaya termasuk Kompleks Sukan Sarawak dan jalan menuju Kota Samarahan.
”Sebenarnya kawasan ini (Neu Pendington) mempunyai dua laluan ke Samarahan.
”Pertamanya, jalan yang ada sekarang terus ke Kota Samarahan dan keduanya ialah melalui Sejingkat, selepas siapnya Jambatan Sejingkat yang akan menghubungkan kawasan seberang Pending yang akan menuju ke jalan baharu kita bina ke Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutupan Karnival UDA 2024, di Tapak Projek Neu Pendington, di sini, hari ini.
Menjelas lanjut, katanya dengan siapnya Jambatan Sejingkat itu kelak, ia akan memudahkan UDA untuk membangunkan UNIMAS sekali gus memudahkan interaksi untuk melaksanakan pembangunan di kawasan itu.
”Pihak UNIMAS datang berjumpa saya dengan membawa kertas cadangan mereka. Jadi, saya memberitahu mereka untuk meneruskan kerjasama sedia ada dengan UDA untuk membangunkan kawasan UNIMAS.
”Ini kerana ia berdekatan dengan hospital UNIMAS yang baharu dan sudah tentu dapat menyediakan kemudahan yang strategik kepada UDA,” katanya.
Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Mohd Salem Kailany; Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel dan Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Rakayah Hamdan.
Oleh RYNNA SHA’ERRA