
BETONG: Lawatan tapak terakhir bagi Projek Mesra Rakyat (PMR) 2025 di Parlimen Betong telah berlangsung di Rumah Panjang Perdu, Spak hari ini dengan tumpuan kepada memastikan kelancaran pelaksanaan projek yang memberi impak langsung kepada penduduk setempat.
Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu berkata selain meninjau perkembangan projek, lawatan tersebut menjadi peluang untuk menyantuni serta beramah mesra dengan penduduk rumah panjang, sambil mendengar sendiri pandangan dan keperluan mereka.
“Suasana mesra ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara pihak pelaksana dan komuniti malah memastikan setiap projek benar-benar memenuhi keperluan rakyat,” katanya.

Projek PMR berkenaan merangkumi pembinaan jalan dan parit konkrit di kawasan Rumah Panjang Perdu yang baharu dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong bertindak sebagai agensi pelaksana.
Apabila siap sepenuhnya, projek ini dijangka meningkatkan keselesaan, keselamatan dan kemudahan prasarana kepada penduduk, sekali gus menyokong pembangunan luar bandar secara berterusan.
Dr Richard turut menyatakan harapan agar projek ini dapat disiapkan mengikut jadual dan memberikan manfaat jangka panjang kepada komuniti di kawasan berkenaan.
Oleh Adi Safarman