MIRI: Projek kerja mendalamkan saluran di delta Batang Baram di sini yang dijangka siap awal 2027, dijangka mampu meningkatkan penyampaian perkhidmatan Lembaga Pelabuhan Miri (LPM).
Pengerusi LPM, Dato Paulus Gumbang berkata projek ini yang dilaksanakan selama 33 bulan sememangnya ditunggu-tunggu dan penting untuk mengubah landskap ekonomi Miri.
“Apabila siap nanti, projek ini akan meningkatkan kedinamikan ekonomi Miri dan sejajar dengan visi kerajaan membangunkan Sarawak menjadi sebuah negeri progresif.
“Fokus kami kekal pada penyepaduan amalan Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE) bagi memastikan kelebihan daya saing LPM dan peranannya dalam menyokong pelbagai industri,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian Hari Pelanggan dan HSE 2024 di LPM di sini hari ini.
Bertemakan ‘Keselamatan Tempat Kerja, Tanggungjawab Semua Orang’ tahun ini, Paulus berkata ia menekankan keselamatan bermula dengan setiap pekerja.
“Dengan memupuk budaya tanggungjawab peribadi untuk keselamatan dan penjagaan alam sekitar, kami bukan sahaja melindungi diri kami tetapi juga memastikan tempat kerja lebih selamat dan mapan.
“Pemikiran ini melangkaui kerja dan ke rumah kita, membentuk generasi masa depan menghargai kesihatan, keselamatan dan penjagaan alam sekitar,” katanya.
Program itu disertai kira-kira 200 orang, kebanyakannya daripada komuniti pelabuhan dan perkapalan, agensi kerajaan dan rakan-rakan perniagaan LPM.
“Pelanggan dan HSE adalah nadi setiap organisasi kerana tanpa mereka tidak akan wujud organisasi perniagaan seperti LPM,” katanya.
Gambar
RASMI…Pengerusi Lembaga Pelabuhan Miri, Dato Paulus Gumbang (enam dari kanan) semasa merasmikan Hari Pelanggan dan HSE 2024 sambil disaksikan tetamu di Lembaga Pelabuhan Miri, hari ini.