Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Projek kampung angkat MADANI bawa sinar Baharu kepada penduduk rumah panjang
  • Tengah
  • WILAYAH

Projek kampung angkat MADANI bawa sinar Baharu kepada penduduk rumah panjang

Utusan Sarawak 8 hours ago
UNTUK RAKYAT… Nanta menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Fizikal Kampung Angkat MADANI KKR bagi 2025 kepada Tuai Rumah Kiong, baru-baru ini.

KAPIT: Hanya mahukan bantuan pendawaian semula, namun penduduk Rumah Panjang Kiong di pedalaman Kapit ibarat menerima durian runtuh apabila kampung mereka dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI (KAM) Kementerian Kerja Raya (KKR) 2025.

Menerusi projek itu, mereka tidak hanya menerima pendawaian semula tetapi juga pembaikan bumbung, tempat letak kenderaan berbumbung, perabot baharu, tandas untuk tetamu, lampu solar dan sistem siar raya.

Kesemua itu diserahkan secara rasmi kepada mereka pada 6 Disember lalu oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, sekali gus membuka lembaran baharu dalam kehidupan masyarakat Iban rumah Panjang tersebut.

Dilaksanakan pada Oktober lalu, projek bernilai RM1 juta itu berdepan cabaran teknikal dan kekangan logistik, namun komitmen KKR menyaksikan proses menaik taraf kemudahan asas di petempatan tersebut tetap berjaya disiapkan mengikut jadual.

BUKAN SEKADAR PEMBINAAN FIZIKAL

Bagi Tuai Rumah Kiong Igang, projek itu bukan sekadar pembinaan fizikal, tetapi membawa makna jauh lebih mendalam buat komuniti yang sekian lama dambakan sentuhan pembangunan.

Meskipun terletak hanya sekitar lima kilometer dari bandar Kapit, liputan kemudahan asas rumah panjang itu di bawah 50 peratus dan masih dikelilingi hutan.

“Saya ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada semua yang telah menjalankan Kampung Angkat MADANI ini. Kami amat berterima kasih… kampung saya dipilih sebagai Rumah Angkat MADANI,” katanya dalam nada terharu, ketika ditemui pada majlis penyerahan projek tersebut.

Kongsinya, rumah panjang itu yang mempunyai 24 pintu, hanya memohon bantuan pendawaian semula elektrik yang telah berusia bagi mengelakkan bencana kebakaran.

“Tidak disangka kampung kami dipilih kerajaan jadi kampung angkat MADANI. Sudah pasti kemudahan yang kami terima ini akan membawa keselesaan hidup kepada penghuni,” ujarnya yang turut menyifatkan pembelaan terhadap masyarakat pedalaman sebagai suatu keperluan yang telah lama tertangguh.

“Projek seperti ini sepatutnya diberi juga kepada rumah-rumah panjang lain. Di pedalaman ini hanya ada hutan… hidup susah. Dengan adanya projek seperti ini, dapatlah memberi kesenangan kepada penduduk jauh di pedalaman,” tuturnya lagi.

Inisiatif Kampung Angkat MADANI yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2024 menyaksikan transformasi di kampung-kampung terpilih, khususnya dari segi penyediaan kemudahan asas.

TERASA HIDUP SEPERTI DI BANDAR

Rumah Panjang Kiong bukan satu-satunya petempatan di pedalaman Sarawak  yang terpilih.Turut menerima manfaat ialah Kampung Nanga Engkuah di Ulu Katibas, Song, melibatkan tiga rumah panjang, iaitu Rumah Assan Munan, Rumah Radiah Langit dan Rumah Albert Lajong.

Terletak kira-kira 50 kilometer dari pekan Song dan hanya boleh diakses melalui sungai dengan perjalanan menaiki bot mengambil masa hampir tiga, kampung itu sekarang menikmati kemudahan yang dinaik taraf hasil empat projek fizikal bernilai RM4 juta di bawah projek Kampung Angkat MADANI KKR 2024.

Kemudahan yang dinikmati oleh keseluruhan 658 penduduk tiga rumah panjang tersebut antaranya dua jambatan pejalan kaki baharu yang menghubungkan ketiga-tiga rumah panjang menggantikan jambatan lama yang telah uzur, lampu solar, jeti yang dinaik taraf dan laluan pejalan kaki.

“Kami rasa seperti tinggal di kawasan bandar. Pada waktu malam kawasan rumah panjang kami terang-benderang dengan lampu solar. Senang bagi kami berkunjung dari satu rumah ke rumah lain,” kata Tuai Rumah Radiah Langit (she) yang hadir di majlis penyerahan projek pada 7 Dis lalu di Pejabat Daerah Song.

Dia turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan kerana memberi perhatian kepada masyarakat pedalaman.

Di bawah program Kampung Angkat MADANI, setiap kampung menerima peruntukan RM1 juta daripada Kerajaan MADANI, namun kos penambahbaikan kemudahan di tiga rumah panjang berkenaan melonjak daripada RM2.5 juta kepada RM4 juta dengan baki kos ditampung oleh KKR.

Tuai Rumah Assan Munan dan Tuai Rumah Albert Lajong pula berharap agar Projek Kampung Angkat MADANI dapat diperluas ke lebih banyak rumah panjang dalam kawasan Parlimen Kapit.

“Sudah pasti penduduk rumah-rumah panjang lain memasang impian untuk menikmati kehidupan lebih baik seperti ini… wajar projek KAM diteruskan,” kata Tuai Rumah Assan.

Sementara itu, Tuai Rumah Albert menambah, “Kalau projek ini diteruskan, penduduk pedalaman tidak lagi akan rasa disisihkan daripada arus pembangunan.”

KERJASAMA STRATEGIK NEGERI–PERSEKUTUAN PACU INKLUSIVITI

Mengulas projek berkenaan, Nanta berkata kejayaan projek Kampung Angkat MADANI membuktikan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Sarawak dan Kerajaan Persekutuan sebagai pemangkin usaha merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.

Projek itu katanya bukan sekadar menaik taraf prasarana, tetapi turut bertujuan memperkukuh kesejahteraan sosial, memperluas akses kepada perkhidmatan kerajaan dan memupuk komuniti yang lebih bersatu serta berdaya saing.

Beliau turut membayangkan kemungkinan projek itu diperluas ke kawasan Dewan Undangan Negeri Pelagus sekiranya program Kampung Angkat MADANI diteruskan pada 2026.

“Kita belum buat pemilihan tetapi sudah tahu kawasan yang sesuai sekiranya projek ini diteruskan. Pelaksanaannya bergantung pada kelulusan kerajaan dalam belanjawan berkenaan (program),”  katanya, menambah keputusan akhir ialah pada Perdana Menteri.

Di sebalik kesunyian hutan dan sungai yang menjadi nadi kehidupan masyarakat Kapit, projek Kampung Angkat MADANI telah menterjemahkan harapan sebagai sesuatu yang nyata, bahawa pembangunan inklusif bukan lagi sekadar janji tetapi hadir dalam bentuk perubahan yang dapat disentuh, dilihat dan dirasai oleh rakyat.

Secara tidak langsung, program ini mengubah landskap sosioekonomi penduduk di pedalaman Sarawak ini, memberikan mereka harapan untuk  menikmati kemudahan asas yang selalunya diambil mudah oleh komuniti bandar.

Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sejumlah RM107 juta bagi melaksanakan Program Kampung Angkat MADANI dengan setiap kementerian/agensi menerima RM2.5 juta untuk tujuan tersebut, kecuali Suruhanjaya Perkhidmatan Awam yang menerima RM2 juta.

Menurut maklumat di laman sesawang Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri, pada masa ini terdapat 43 Kampung Angkat MADANI di seluruh negara, menyantuni kira-kira 83,000 penduduk. – Bernama

Continue Reading

Previous: Op Remove: Dua buaya ditangkap di Sungai Krian hari ini
Next: Gangguan bekalan air tidak berjadual jejas beberapa kawasan di Subis

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.