LAWAS: Utara Sarawak akan memulakan projek jelapang padinya dengan pembinaan infrastruktur asas merangkumi kawasan Miri, Limbang dan Lawas.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata program pembangunan seperti itu hanya akan dapat dilaksanakan apabila ada infrastruktur asas seperti jalan raya dan sistem saliran serta pengairan yang betul.
“Fokus utama menjelang tahun depan adalah memastikan sektor keterjaminan makanan di Utara Sarawak dapat menyokong keperluan rantaian makanan rakyat di Sarawak keseluruhannya.
“Penanaman padi itu adalah salah satu fokus kita dan Premier Sarawak sudah beritahu saya untuk Utara Sarawak meliputi kawasan di Miri, Limbang dan Lawas, telah disediakan RM500 juta untuk infrastruktur khusus bagi sistem pengairan dan saliran.
“Semalam ada pegawai dari kementerian pertanian datang jumpa saya dan bertanya dimana Datuk akan menjalankan jelapang padi ini. Jadi saya sudah cadangkan kawasan yang akan kita buat secara berperingkat, ” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan mesyuarat perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Ba’kelalan di sini malam tadi.
Awang Tengah berkata, bagi Daerah
Lawas, fokus yang diberikan adalah penanaman padi di Ba’kelalan, Long Semadoh termasuk di Trusan yang memiliki kesesuaian tanah dalam penanaman padi secara besar-besaran.
Selain itu sektor ternakan dan lainnya yang berkaitan dengan sektor keterjaminan makanan turut dibangunkan bersama infrastruktur lainnya yang diperlukan rakyat.
Hadir sama ialah Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong; Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Pengiran Jawa dan Setiausaha Eksekutif PBB Sarawak Datuk Awang Bujang Awang Antek.
Oleh ADENG EDRUS