
SIBU: Projek pembinaan Jalan Teku–Pasai Siong, Jalan Kemuyang Sibu (Pakej 1) sepanjang 6.17 kilometer kini mencatat kemajuan fizikal sebanyak 25.5 peratus, iaitu mendahului 2.82 peratus daripada jadual asal yang ditetapkan pada 22.7 peratus.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pencapaian itu menunjukkan perkembangan positif pelaksanaan projek bernilai RM76 juta itu dan beliau yakin ia dapat disiapkan mengikut jadual.

Menurutnya, projek berkenaan turut melibatkan pembinaan struktur jalan bertingkat (elevated road) sepanjang 704 meter merentasi kawasan tanah gambut bagi memastikan kestabilan serta keselamatan jalan.
“Kami amat berpuas hati dengan kemajuan kerja yang dicapai. Kontraktor berada sekitar 2.82 peratus di hadapan jadual dan kami yakin projek ini dapat disiapkan seperti yang dirancang,” ujarnya ketika lawatan kerja ke tapak projek, petang ini.
Beliau berkata, keadaan cuaca yang baik turut membantu kelancaran pelaksanaan projek berkenaan.
Katanya, projek itu mencerminkan komitmen kerajaan Sarawak dalam menyediakan infrastruktur berkualiti demi manfaat rakyat.
“Apabila siap kelak, jalan ini akan membuka kawasan baharu yang mempunyai potensi pembangunan besar serta meningkatkan jaringan perhubungan ke Pasai Siong,” katanya.
Katanya, jalan tersebut bakal menjadi laluan alternatif kedua yang menghubungkan Pasai Siong dengan bandar Sibu, sekali gus merancakkan pembangunan di kawasan berkenaan.
Beliau berharap kontraktor dapat mengekalkan momentum kerja bagi memastikan projek siap mengikut jadual.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Datuk Dr Annuar Rapaee.
Oleh Akun Giman