SANTUBONG: Projek penggantian paip lama di Rampangi di sini mencatat kemajuan memberangsangkan apabila kini mencapai 60 peratus siap, lebih awal daripada jadual asal.
Projek yang bermula pada November tahun lalu itu dijadualkan siap dalam tempoh enam bulan dan diselesaikan sepenuhnya menjelang Mei ini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi, berkata kerja-kerja penggantian paip lama di kawasan tersebut berjalan lancar dan lebih pantas daripada yang dijangkakan.
Katanya, projek itu bertujuan mengurangkan kebocoran air serta meningkatkan tekanan air kepada pengguna.
“Apabila paip lama yang bocor digantikan, masalah air tidak terhasil (NRW) dapat dikurangkan, sekali gus membantu meningkatkan tekanan air.
“Ini penting bagi memastikan bekalan air sampai dengan baik kepada pengguna di kawasan berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kemajuan projek itu di Rampangi hari ini.
Projek di Rampangi adalah sebahagian inisiatif kerajaan Sarawak yang memperuntukkan RM1.085 bilion bagi menggantikan paip lama sepanjang 2,740 kilometer di seluruh negeri dalam tempoh lima tahun.
Di bawah peruntukan ini, Kuching akan menyaksikan pelaksanaan 24 projek penggantian dan naik taraf paip dengan nilai keseluruhan RM17.6 juta.
Bagi kawasan Pantai Damai, tiga lokasi utama yang terlibat dalam kerja-kerja penggantian paip ialah Kampung Rampangi SKIM, Kampung Buntal, dan Kampung Santubong.
Projek di Rampangi khususnya melibatkan kos sebanyak RM1.6 juta dan dijangka siap mengikut jadual.
Dalam pada itu, Julaihi turut memaklumkan bahawa projek penggantian paip di seluruh Sarawak sedang giat dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak RM588 juta telah diluluskan.
Antara agensi yang terlibat dalam pelaksanaan projek ini ialah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Lembaga Air Kuching, Lembaga Air Sibu dan LAKU Management Sdn Bhd (LAKU) di Miri.
Menurutnya, Sarawak kini berada di landasan yang tepat dalam mencapai sasaran liputan bekalan air bersih di seluruh negeri menjelang 2030.
Usaha yang sedang dijalankan termasuk menaik taraf loji rawatan air, membina loji baharu, serta membangunkan sistem grid air bagi memastikan bekalan air bersih dapat dinikmati secara menyeluruh, terutama di kawasan luar bandar.
Oleh Amanda L. dan Masrin Affirah