Sistem LPR berkuat kuasa dalam kawasan Icom Square

Facebook
WhatsApp
MERIAH… Dato Patrick Liew merakamkan gambar bersama para penari tarian singa selepas sambutan Tahun Baharu Cina Icom Square 2025.

KUCHING: Icom Square akan menggunakan sistem pengenalan plat nombor (LPR) di kawasan selianya dalam usaha menyediakan perkhidmatan tempat letak kenderaan yang lebih selesa.

Pengerusi Badan Pengurusan Bersama Icom Satu (Icom Joint Management Body One), Dato Patrick Liew berkata pelaksanaan sistem LPR itu akan berkuat kuasa pada minggu pertama Mac tahun ini.

Menurutnya, sistem letak kereta LPR ini akan dilaksanakan menggunakan kaedah pembayaran Pay & Go di setiap pintu masuk dan keluar kawasan Icom Square.

“Dengan peningkatan jumlah pengunjung berikutan perkhidmatan dari hab-hab yang ada di sini, ia menjadikan kawasan sekitar semakin sesak dan padat.

“Justeru, kita mengambil inisiatif untuk melaksanakan sistem parkir LPR untuk menyediakan perkhidmatan letak kereta yang lebih cekap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan sambutan Tahun Baharu Cina Icom Square 2025 di sini, hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung tempat parkir khusus untuk para pekerja di Icom Square, beliau berkata ia akan dipindahkan ke tapak baharu.

“Tempat parkir khusus untuk para pekerja sebelum ini terletak di hadapan pintu masuk tetapi setelah sistem parkir LPR ini dilaksanakan, tempat parkir mereka akan dipindahkan ke bahagian belakang.

“Selain itu, pas parkir bulanan para pekerja juga akan dikekalkan dan hanya tempat parkir mereka sahaja yang dipindahkan,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, katanya, Badan Pengurusan Bersama Icom komited untuk menambah baik perkhidmatan kawasan tersebut.

Ini termasuk menaik taraf landskap, latihan keselamatan dan kebakaran bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, taklimat kebersihan dan keselamatan makanan untuk pengusaha makanan dan minuman (F&B) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM), dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).

Oleh Rynna Sha’erra 

Sarawak anjur IDECS 2026 Oktober ini

KUCHING: Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2026 yang kesembilan akan berlangsung pada 5 hingga 6 Oktober ini di Pusat