Usia pokok gaharu di Ulu Menyang, Batang Ai yang ditanam sejak tahun 2016 belum mencapai tahap matang tetapi penduduk Rumah Manggat sudah mulai meraih hasil daripada tanaman berkenaan.
Bukan tuaian pokok kerana spesies gaharu yang mereka tanam hanya matang pada usia lima tahun tetapi tuaian daun pokok ini untuk diproses menjadi teh herba premium.
Meski jumlah tuaian belum begitu lumayan tetapi penduduk gembira kerana titik peluh mereka selama ini sudah mula membuahkan hasil.
“Kami di rumah panjang amat gembira dan bersyukur dengan projek ini. Dari awal lagi kami menerima baik projek ini kerana melihat potensinya untuk memajukan ekonomi kami sendiri dan untuk sampingannya pula, memulihara habitat orang utan,” kata Tuai Rumah (TR) Manggat Meringai.
Justeru menjadi tanggungjawab penghuni rumah panjang ini untuk memantau projek berkenaan berkembang sebagaimana yang telah digariskan di dalam Pelan Tindakan Strategik Orang Utan Ulu Sungai Menyang.
Sebelum ini mereka pernah dibantu oleh sukarelawan di dalam kerja-kerja penanaman 11,000 daripada 14,000 anak pokok gaharu di atas kawasan seluas 5.5 hektar memandangkan kabanyakan penduduk sudah berusia.
“Kami memantau kondisi daun, melaksanakan pembajaan dan pembersihan ladang secara berjadual. Bagaimanapun kami mendapat bantuan baja, peralatan kebun dan mesin rumput,” kata beliau.
Menurut TR Manggat, setakat ini sudah dua kali mereka menuai daun gaharu dan mengikut perancangan, penuaian dan penjualan daun gaharu akan dilakukan tiga kali setahun.
“Kami diberi tunjuk ajar oleh Pengarah Urusan Aquilaria Plantation Sdn Bhd, Dr. Lim Chan Khoon tentang jenis daun yang sesuai dituai. Penuaian ini juga mengambil masa yang agak lama kerana mengikut proses kematangan daun,” katanya.
WWF-Malaysia yang menjadi agensi pelaksana dan penyumbang dana projek ini di dalam satu kenyataan berkata pihaknya telah menandatangani perjanjian eksklusif dengan Aquilaria Plantation Sdn Bhd, selaku pembekal anak pokok gaharu untuk membeli hasil tuaian daun gaharu dari projek ini.
Penduduk rumah panjang juga menikmati hasil sampingan lain daripada projek ini, misalnya bantuan projek lain daripada Jabatan Hutan Sarawak seperti baik pulih rumah panjang, bekalan air bersih daripada pembinaan empangan mini dan projek Tagang.
PERMINTAAN DARI CHINA
Sementara itu, Dr. Lim di dalam temubual bersama WWF-Malaysia memberitahu bahawa teh daun gaharu mempunyai permintaan yang tinggi di China kerana dipercayai mempunyai banyak khasiat.
Teh herba ini dikatakan berfungsi untuk mengatasi insomnia, mengurangkan paras gula dalam darah dan membantu mengurangkan kadar kolesterol.
Disebabkan permintaan tinggi ini maka pihaknya memberi penekanan kepada kualiti teh gaharu yang dihasilkan dari Ulu Menyang ini dengan hanya memilih daun separa matang dan berwarna hijau tua sederhana untuk dituai.
Pengurus Projek Inisiatif Iklim Antarabangsa, WWF-Malaysia Cynthia Chin berkata pihaknya amat berpuas hati dengan perkembangan projek ini dan berharap lebih banyak rumah panjang dapat dilibatkan di dalam projek seperti ini pada masa akan datang.
“Kami berharap agar masyarakat tempatan akan diperkasakan ke arah pengurusan bersama sumber alam semula jadi mereka. Hal ini kemudiannya akan membawa kepada masa hadapan yang lestari; yang menguntungkan manusia, orang utan dan kawasan habitat mereka,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Hutan pula telah menggariskan beberapa kejayaan daripada projek ini.
Antaranya, aktiviti pembalakan dapat dikekang di kawasan ini bagi menjaga habitat orang utan melalui pembatalan lesen pembalakan, meningkatkan status sosio-ekonomi komuniti setempat, mengubah kawasan ini menjadi hotspot pelancongan, menjadi pemangkin promosi Taman Negara Batang Ai serta meningkatkan kualiti air dan alam semulajadi di tasik hidro Batang Ai.
Disebabkan kejayaan ini maka projek gaharu Ulu Menyang telah dijulang sebagai pemenang Pingat Emas pada Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (AKPANS) dalam kategori High Performance Team (HPT).
Anugerah itu disampaikan bersempena dengan Hari Perkhidmatan Awam pada 4 Disember 2019 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Oleh Haini Darani