KOTA KINABALU, 11 Oktober: Timbalan Menteri Komunikasi, YB Teo Nie Ching, hari ini meninjau perkembangan awal Projek Bandar Pintar Kota Kinabalu yang dilaksanakan bagi memperkukuh infrastruktur digital bandar raya ini serta menyokong penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap dan responsif terhadap keperluan penduduk.
Projek ini dijangka meningkatkan ketersambungan digital, memperkukuh keselamatan awam serta meningkatkan keupayaan pihak berkuasa tempatan dalam menangani cabaran bandar, termasuk pengurusan lalu lintas dan pemantauan persekitaran. Kemudahan digital yang lebih baik juga dijangka menyokong pertumbuhan perniagaan tempatan dan membuka peluang ekonomi baharu kepada komuniti setempat.
Dimulakan pada 6 Ogos 2026, projek ini dilaksanakan melalui kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK). Projek ini merangkumi pembangunan rangkaian gentian optik, tiang pintar, kemudahan Wi-Fi awam serta Pusat Kawalan Operasi Rangkaian (Network Operations Command Centre – NOCC) bagi memperkukuh infrastruktur komunikasi dan kesalinghubungan digital di Kota Kinabalu.
Skop pelaksanaan projek ini meliputi pembangunan 50 kilometer rangkaian teras (backbone), 308 kilometer rangkaian sambungan akhir (last mile) serta pemasangan 822 unit tiang pintar (Smart Pole) dan tiang pelbagai guna (Multi-Purpose Pole) sebagai komponen utama ekosistem bandar pintar Kota Kinabalu.
NOCC yang sedang dibangunkan akan berfungsi sebagai pusat pemantauan dan penyelarasan pelbagai sistem bandar bagi membantu pihak berkuasa tempatan mengurus operasi serta perkhidmatan bandar dengan lebih cekap dan berkesan.
MCMC akan terus bekerjasama dengan DBKK dan pihak pelaksana bagi memastikan pembangunan infrastruktur digital, NOCC dan sistem bandar pintar dilaksanakan mengikut perancangan serta disepadukan secara berkesan untuk memenuhi keperluan bandar raya yang semakin berkembang.




