ROBAN: Projek baik pulih dan naik taraf bumbung Rumah Panjang Gandik Lui, Sungai Engkabang di sini, yang dilaksanakan menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP), berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri, berkata projek berkenaan membuktikan komitmen kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam memperkasa pembangunan serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat di kawasan luar bandar.
Menurutnya, projek yang bermula pada 26 Mei lalu itu pada asalnya dijadualkan siap pada 6 November depan, namun berjaya disempurnakan lebih awal hasil pelaksanaan yang cekap dan terancang.
“Rasa keceriaan dan kegembiraan penduduk di Rumah Panjang Gandik Lui jelas kelihatan apabila projek yang ditunggu-tunggu ini akhirnya siap sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis perasmian Projek Baik Pulih Bumbung Rumah Gandik Lui di Sungai Engkabang, Roban, dekat sini semalam.
Mohamad Duri berkata, Rumah Gandik Lui yang mempunyai 31 bilik sebelum ini telah mengemukakan permohonan untuk menaik taraf bumbung rumah panjang berkenaan sebelum permohonan itu diluluskan dan disenaraikan di bawah projek RTP bagi pelaksanaan tahun ini.
Katanya, proses berkenaan turut melalui beberapa sesi libat urus bagi mengenal pasti keperluan serta skop kerja yang diperlukan.
“Lawatan tapak pada 16 Februari lalu yang dihadiri Kaunselor Kasdi Pandi bagi mewakili saya, Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Roban, Steve Miller Nuas serta wakil JKR Saratok, telah membincangkan skop kerja dan beberapa perkara berkaitan projek bersama Tuai Rumah Gandik Lui,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Daerah Kecil Roban, JKR Saratok selaku agensi pelaksana dan penyelia projek, Tuai Rumah serta penduduk Rumah Panjang Gandik Lui atas kerjasama dalam memastikan projek berkenaan dapat dilaksanakan dengan lancar.
Skop projek melibatkan kerja membaik pulih dan menaik taraf bumbung rumah panjang bagi memastikan struktur bangunan lebih kukuh, selamat serta memberikan keselesaan kepada penduduk.
Mohamad Duri berkata, pelaksanaan projek itu sekali gus membuktikan usaha berterusan kerajaan dalam memastikan kemudahan asas di kawasan luar bandar terus dipertingkatkan selaras dengan keperluan masyarakat setempat.
Oleh Adi Safarman



