
KUCHING: Program Vaksinasi Rabies Percuma yang turut merangkumi pelesenan, pemasangan mikrocip, dan pengkebirian anjing diadakan hari ini di Dewan Komuniti Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) mendapat sambutan hangat daripada orang awam, dengan lebih 80 haiwan menerima suntikan vaksin dan lebih 50 lesen anjing dikeluarkan.
Datuk Bandar MBKS, Dato Wee Hong Seng, berkata program tersebut merupakan penganjuran kali kedua bagi tahun ini, dan pihaknya berpuas hati dengan tahap kesedaran masyarakat yang semakin tinggi mengenai bahaya penyakit rabies.

“Rabies adalah penyakit yang boleh dicegah. Kita tidak mahu sesiapa menjadi mangsa hanya kerana kecuaian,” katanya.
“Kerajaan telah memberikan masa dan kesedaran yang mencukupi. Kini, tiada lagi alasan,” tegas beliau.
Tambahnya, MBKS kini menjalankan program vaksinasi sehingga lima kali setahun bagi memastikan semua pemilik haiwan peliharaan mendapat peluang melindungi haiwan mereka. Ini kerana suntikan rabies perlu diambil setiap tahun, bukannya hanya sekali seumur hidup.

“Kita tidak akan umumkan lebih awal kawasan mana yang akan dikuatkuasakan dahulu, jadi semua perlu sentiasa bersedia.
“Tahun lalu kita hanya kenakan penalti minimum, namun tahun ini kita tidak akan bertolak ansur,” jelasnya.
Mengenai isu anjing terbiar, beliau menekankan kepentingan pemasangan mikrocip bagi memudahkan pengecaman pemilik serta mengelakkan kekeliruan antara haiwan peliharaan dan haiwan liar.
“Jika masih ada yang melepaskan haiwan peliharaan mereka dan apabila ditangkap, kemudian marah-marah — itu tidak adil.
“Tanggungjawab kita semua adalah untuk memastikan keselamatan masyarakat,” tambah beliau.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pencegahan Kekejaman terhadap Haiwan Sarawak (SSPCA), Datin Dona Drury-Wee menyeru orang ramai supaya memberi perhatian terhadap kepentingan pengkebirian haiwan peliharaan bagi mengawal populasi haiwan terbiar.
“Jika tidak mahu terlalu banyak haiwan di rumah, tolong kebirikan. SSPCA kini menawarkan program pengkebirian percuma untuk kucing dan anjing betina melalui geran Yayasan Khazanah.
“Vaksin rabies untuk kucing juga akan disediakan secara percuma dengan kerjasama pembekal Boehringer Ingelheim,” katanya.
Menurut beliau, pemilik hanya perlu membayar yuran pendaftaran sebanyak RM20 untuk kucing dan RM70 untuk anjing bagi mendapatkan perkhidmatan tersebut.
SSPCA turut mengumumkan satu inisiatif baharu di bawah geran Yayasan Khazanah yang melibatkan pengkebirian, vaksinasi, dan penandaan 100 ekor anjing komuniti dengan tag telinga biru bertulis “SSPCA” sebagai bukti bahawa haiwan tersebut telah menerima rawatan sewajarnya.
“Kami akan bekerjasama dengan Majlis Daerah Lundu dan Lawas (MDHLG) serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), dan bakal menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dalam masa terdekat.
“Program ini akan dilaksanakan secepat mungkin,” ujar Dona.
Oleh Amanda L.