Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • STAIL
  • Program Sambutan Bulan Kebangsaan Semarakkan semangat patriotisme pelajar
  • STAIL

Program Sambutan Bulan Kebangsaan Semarakkan semangat patriotisme pelajar

Utusan Sarawak 3 years ago

Sepanjang bulan kemerdekaan ini, banyak sekali   program berkaitan aspek kenegaraan diadakan di mana-mana bagi menyemarakkan lagi semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat, sekali gus memeriahkan sambutan.

Malah sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini amat bermakna selepas dua tahun ia tidak diraikan secara besar-besaran ekoran pandemik Covid -19 sebelum ini.  Tahun ini, rakyat Malaysia diberi peluang sekali lagi untuk bersama-sama meraikan hari bersejarah ini yang  bertemakan Keluarga Malaysia Teguh Bersama.

Bukan hanya generasi muda yang digalakkan turut serta di dalam pelbagai program sepanjang bulan ini, malah generasi berusia juga perlu terlibat sama untuk mengimbau kembali hari-hari indah sebagai rakyat Malaysia yang harmoni ini.

Bagi para pelajar Kelas Dewasa atau juga dikenali sebagai Kelas Pendidikan Literasi Fungsian (PLF) di Kampung Pemindahan Marudi A dan B, baru-baru ini mereka bersama-sama menjayakan Pertandingan Mewarna serta Program Mengibarkan Jalur Gemilang  sebagai sebahagian daripada aktiviti Program Sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.

Menurut penyelaras kelas ini, Cikgu Rita Sultan Abdullah, meskipun aktivitinya agak mudah namun ia memberi impak besar bagi mengingatkan para pelajar tentang peristiwa di sebalik tarikh 31 Ogos serta serba sedikit sejarah negara.

“Kita harus ingat bahawa para pelajar PLF ini tidak mendapat pendidikan rasmi di sekolah sebelum ini jadi melalui kelas PLF dan aktiviti seperti ini, kita menjelaskan kepada mereka tentang sejarah tarikh 31 Ogos serta kenapa ia masih sinonim dengan negara sampai sekarang,” kata beliau.

Dengan pengetahuan ini kata beliau, diharapkan ia dapat menyemarakkan lagi semangat patriotisme dalam kalangan para pelajar, selain aktiviti santai ini dapat memupuk semangat muhibah, setia kawan, bekerjasama dan bertolak ansur sesama mereka.

“Bukan sahaja kita perlu semarakkan rasa cinta negara dalam kalangan generasi muda tetapi generasi berusia pun perlu diingatkan tentang peranan mereka untuk sama-sama membantu memupuk perpaduan dan menyumbang kepada kemakmuran negara dengan cara masing-masing,” tambah beliau.

Dari aspek pendidikan pula, ia memberi peluang kepada para pelajar PLF untuk menonjolkan bakat mewarna serta daya kreativiti masing-masing serta memberi pendedahan kepada mereka untuk terlibat di dalam aktiviti sedemikian pada masa akan datang.

Sementara itu, kelas PLF dikelolakan oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) bagi memberi peluang kepada golongan dewasa, belia dan beliawanis serta  remaja yang tercicir persekolahan di Sarawak dan Sabah untuk menjadi celik huruf dan celik angka.

Peserta kelas ini terdiri dari mereka pernah bersekolah tetapi tidak menamatkan sesi persekolahan atau tidak pernah ke sekolah langsung dan peluang juga diberikan kepada golongan yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri seperti tiada sijil lahir dan tiada kad pengenalan .

Had umur adalah dari tujuh tahun sehingga 60 tahun tetapi tertakluk kepada daya penglihatan  atau kemampuan peserta sendiri. Kelas untuk  setiap pelajar diadakan selama tiga jam, sehari dalam seminggu dan  tunjang utama kelas ialah Membaca, Menulis dan Mengira (3M).

Matlamat  program ini adalah untu membasmi buta huruf dalam kalangan penduduk luar bandar dan pedalaman  Sabah dan Sarawak bagi  meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

Oleh HAINI DARANI

Continue Reading

Previous: Pedun Likew Igan Kubu 2022 Kukuhkan silaturahim warga Igan
Next: Leluai, bubur tradisional etnik Melanau

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.