Bulan Ramadan seakan tiada serinya jika tiada bubur lambuk, apatah lagi jika bubur lambuk ini disediakan untuk dikongsi bersama orang lain, terutama jiran tetangga dan fakir miskin.
Keindahan memberi dan berkongsi rezeki dengan orang lain ini pastinya mengeratkkan lagi hubungan silaturahim sesama sendiri, sekali gus menjadikan Ramadan ini lebih meriah dan berkat.
Justeru sepanjang bulan ini, di mana-mana akan diadakan program memasak dan mengagihkan bubur lambuk , bubur pedas, bakul makanan dan sebagainya untuk dikongsikan dengan orang lain, terutama golongan kurang bernasib baik.
Semangat inilah yang dijulang oleh Kejiranan Mesra (KJM) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Nombor 5 apabila menganjurkan Program Pengagihan Bubur Lambuk : Ihsan Ramadan 2021/1442H pada Ahad lalu.
Program tersebut merupakan salah satu aktiviti amal KJM dan JKKK kampung berkenaan setiap Ramadan untuk berkongsi kemeriahan bulan mulia ini, selain menyuburkan lagi amalan memberi dan menerima.
Dana untuk program ini disumbangkan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), manakala pelaksanaannya dilakukan secara bergotong-royong oleh penduduk kampung.
Menurut salah seorang penduduk kampung, Tina Bujang, seramai tujuh tukang masak berganding bahu untuk memasak tiga periuk bubur lambuk di kediaman salah seorang penduduk kampung, Sarimah Alen, selain dibantu oleh penduduk kampung yang lain.
Hasil kerjasama semua, sebanyak 350 bekas bubur lambuk berjaya disiapkan dan diedar mulai jam 3 ,00 petang kepada penduduk Kampung Nombor 5, orang awam yang melalui jalan Kampung Nombor 5 dan Badan Salam Khalifah.
Selain agihan bubur lambuk, KJM dan JKKK kampung ini juga turut menyumbang bekalan makanan kepada 20 penduduk kampung sebagai persediaan untuk menyambut Hari Raya.
Ketua Kampung Shamsuri Epo selaku pengerusi KJM dan JKKK memanjangkan ucapan terima kasih kepada pihak DBKU di atas sumbangan untuk program ini dan berharap ia akan diteruskan lagi untuk tahun-tahun akan datang.
Menurut beliau, program seperti ini mungkin nampak biasa tetapi penting untuk menyemai semangat gotong-royong dalam kalangan penduduk kampung dan dalam masa yang sama, membantu golongan yang memerlukan bantuan untuk sama-sama meraikan Aidilfitri yang bakal tiba.
Oleh HAINI DARANI