LUNDU: Yayasan Kebajikan Negara (YKN) melalui platform khidmat komunitinya, Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS), telah menganjurkan program khidmat komuniti bagi menceriakan suasana persiapan sambutan Hari Gawai di Rumah Panjang Kangka, di sini, hari ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri, berkata inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha memupuk semangat “berserakup begulai sejalai” yang menekankan nilai perpaduan dan kerjasama melalui aktiviti gotong-royong serta kesedaran keselamatan komuniti.
“Sebanyak 25 tong cat digunakan bagi mengecat rumah panjang yang mempunyai 42 pintu, hasil kerjasama erat antara penduduk dan warga YKN,” kata beliau.
Dalam program tersebut, sebanyak 15 unit alat pemadam api turut disumbangkan sebagai langkah proaktif untuk meningkatkan kesedaran terhadap keselamatan kebakaran.
Nancy, yang juga Ahli Parlimen P193 Santubong, turut memaklumkan tentang dua projek pembangunan yang akan memberi manfaat kepada penduduk Kampung Kangka.
Projek pertama ialah pembinaan baharu Titi Kampung Kangka yang telah diluluskan di bawah Projek Mesra Rakyat (PMR) 2023 dengan peruntukan sebanyak RM100,000.
Sementara itu, Projek Naik Taraf Bilik Gerakan JKKK Kampung Nangka di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2026 juga telah diluluskan dengan peruntukan RM150,000.
Beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM5,000 bagi fasa pertama 2025 untuk pelaksanaan pelbagai aktiviti dan program komuniti di kampung tersebut.
Sebagai tambahan, YKN turut membawa perkhidmatan PSSS secara bergerak ke lokasi program bagi memudahkan penduduk rumah panjang mendapatkan sokongan psikososial secara terus dan selamat.
Majlis dimeriahkan dengan demonstrasi pemadaman kebakaran serta pameran daripada pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negeri Sarawak (LPPKN), dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif YKN Nordina Haron, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak Jamri Masran, Pegawai Daerah Lundu Awang Yusuf Awang Mostapha, Pengarah LPPKN Sarawak Jimbau Munggat, Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak Mohd Ali Taib, Setiausaha Politik kepada Menteri Mohammed Kamaluddin Mohd Effendie, serta Ketua Rumah Panjang Kangka, Henry Isa Jemat.