BINTANGOR: Seramai 100 penduduk hadir menghadiri program Ziarah Jom Mengundi PRU-15 anjuran Pejabat Penerangan Daerah Meradong di Dewan Masyarakat Sosial Sg Tulai Bintangor pagi hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata penganjuran program itu penting, kerana dapat memberi peringatan kepada semua, khasnya untuk pengundi supaya tidak terlupa tarikh mengundi.
“Program ini adalah untuk mengalakkan orang ramai keluar mengundi dan program ini juga banyak melibatkan ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) di DUN Meradong bagi memaklumkan kepada penduduk supaya menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi terutamanya pengundi berumur 18 tahun.
“Golongan belia melebihi usia 18 tahun juga perlu menyemak portal SPR MySemak bagi memastikan sudah layak untuk mengundi.
“Jangan sia-siakan undi kita kerana kerajaan Sarawak telah mengumumkan cuti khas pada 18 November ini sebagai persiapan kita terutama yang dari luar kawasan untuk balik mengundi,” katanya.
Beliau menasihatkan pengundi baharu, supaya memangkah kertas undi dengan bijak agar kerajaan yang akan datang dapat memimpin negara dengan sebaiknya.
“Pilihlah calon yang mampu bekerja dan mampu untuk membawa banyak pembangunan kepada negeri, daerah dan negara serta bukan hanya calon yang pandai berkata-kata tapi tidak mampu untuk membuat perubahan atau pembangunan,” katanya.
Hadir sama pada majlis itu, Pegawai Daerah Meradong Badjuri Bidin, Pegawai Penerangan Daerah Meradong Zaini Morsidi, Pegawai Penerangan Daerah Sarikei Michael Sabek,Pemanca Yii Hee Sieng dan Ketua Komuniti Keluarga Malaysia Sg Tulai Kapitan Robert Wong Ming Ging.
Oleh Suriyani Molyadi