PETRA JAYA: Program Jiwa Komuniti Madani disifatkan sebagai platform strategik untuk memperkukuh libat urus antara kerajaan dengan masyarakat setempat.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata inisiatif ini menekankan kepentingan komunikasi dua hala dalam memastikan aspirasi dan dasar kerajaan dapat dihayati dan diterapkan secara menyeluruh.
Katanya, program seumpama ini bukan sahaja memberi ruang untuk penyampaian maklumat kerajaan, malah juga memperlihatkan peranan penting komuniti sebagai penggerak dasar.
Beliau turut menekankan keperluan menggunakan pendekatan tradisional, iaitu komunikasi bersemuka, selain daripada media elektronik, media cetak, dan media sosial.
“Gabungan pendekatan tradisional dan moden amat penting untuk memastikan mesej kerajaan sampai kepada semua lapisan masyarakat. Komuniti bukan sahaja penerima maklumat, tetapi juga penyumbang dan penggerak dalam pelaksanaan dasar kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Jiwa Komuniti Madani Peringat Parlimen Santubong, di Mydin Tunku Vista, di sini, hari ini.
Program ini melibatkan kerjasama sembilan Komuniti Madani di bawah seliaan Pejabat Penerangan Daerah Kuching dan Lundu.
Pengarah Penerangan Sarawak, Helmy Hamid, menjelaskan bahawa program ini dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak dengan tujuan untuk menyampaikan maklumat berkaitan isu semasa, dasar dan inisiatif kerajaan kepada masyarakat secara langsung.
“Pendekatan turun padang ini turut melibatkan pemimpin atau wakil rakyat setempat, bertujuan untuk merapatkan jurang antara pemimpin dan masyarakat,” kata Helmy.
Dalam program sama, seramai 36 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) menerima insentif di bawah Program Insentif Cemerlang Nancy Shukri (NS) , dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM23,900.
Buat julung kalinya, insentif ini diberikan di Parlimen Santubong. Selain itu, Nancy yang juga Ahli Parlimen Santubong, turut menyampaikan insentif berjumlah RM5,200 kepada wakil Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak dari kawasan Parlimen Santubong yang berjaya memperoleh pingat.
Oleh SHAHRUL QAIZAT
Gambar
PENCAPAIAN MEMBANGGAKAN…Dato Sri Nancy Shukri (tengah) bergambar bersama penerima insentif Program Insentif Cemerlang NS pada Program Jiwa Komuniti Madani peringkat Santubong, di Mydin Tunku Vista, hari ini.