
LINGGA: Program Reka Cipta dan Inovasi Pencetus Kreativiti Komuniti Kreatif (RECIP3K) anjuran Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Bijat diyakini memberi manfaat kepada murid sekolah berkenaan.
Memuji inisiatif warga sekolah tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan Datuk Mong Dagang berkata, kejayaan sebuah sekolah terletak kepada kreativiti warga pendidik untuk terus melakukan perubahan dari semasa ke semasa.
Selain itu, ia juga terletak kepada didikan dan pemerhatian ibubapa sebagai pemangkin semangat anak-anak untuk terus mencungkil bakat seterusnya mengembangkan kemahiran yang ada.
“Pertandingan yang dianjurkan ini adalah merupakan platform terbaik untuk kita melihat kreativiti dan inovasi yang dihasilkan melalui kerjasama erat antara pendidik, ibubapa dan murid.
“Dan setiap karya yang dipamerkan hari ini adalah bukti komitmen mereka dalam mendidik generasi di masa hadapan,” katanya semasa merasmikan Pertandingan RECIP3K SK Tanjung Bijat, hari ini.
Mong berkata pertandingan ini juga bertujuan mengeratkan silaturahim antara ibu bapa, komuniti dan sekolah-sekolah dari bahagian- bahagian terdekat.
“Tidak ketinggalan, acara ini menjadi medan untuk menjana idea dan berkongsi ilmu mengenai bahan ciptaan serta penggunaannya.
“Pertandingan yang diadakan setiap tahun tersebut bukan sahaja menarik minat sekolah dari Bahagian Sri Aman, malah dari Bahagian Betong, Serian dan Simunjan. Kehadiran mereka menjadikan acara ini lebih meriah dan mencerminkan semangat kerjasama serta kesatuan memajukan pendidikan anak-anak,” jelasnya.
Pada majlis tersebut, Mong telah mengumumkan peruntukan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM20,000 kepada Persatuan IbuBapa dan Guru (PIBG) SK Tanjung Bijat.
Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Sri Aman, Abdul Rahman Muhiyuddin, Guru Besar SK Tanjung Bijat, Hairani Jeman, ketua kaum dan ketua masyarakat (KMKK) serta ibubapa murid sekolah berkenaan.
Oleh Adi Safarman