PETRA JAYA: Program ‘Sarawak Youth Start-Up’ menghimpunkan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan di peringkat Sarawak serta Persekutuan bagi membangunkan usahawan belia, termasuk semua agensi berkaitan pembangunan keusahawanan.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Ripin Lamat, berkata inisiatif ini bukan sekadar menjadi platform pembelajaran bagi belia, malah juga berfungsi sebagai ‘pembekal’ kepada kementerian dan agensi yang terlibat dalam pembangunan usahawan.
“Kita bertindak sebagai pembekal dengan melatih usahawan sebelum menyerahkan mereka kepada agensi kerajaan masing-masing, memandangkan setiap kementerian mempunyai program pembangunan usahawan tersendiri.
“Sebagai contoh, Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-Ficord) mempunyai program Agropreneur. Di ‘Sarawak Youth Start-Up’, kita akan memberikan latihan asas kepada usahawan sebelum mereka dihantar ke M-Ficord untuk penambahbaikan kemahiran,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media ‘Sarawak Youth Start-Up’ di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Dr Ripin, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir, turut menyatakan bahawa kementeriannya sedang mempertimbangkan penubuhan Hab ‘Start-Up’ Belia, mengambil inspirasi daripada kejayaan ‘Pangyo Start-Up Hub’ di Korea Selatan.
Setakat ini, seramai 80 peserta telah menyertai program tersebut, dan mahu lebih ramai belia berusia antara 18 hingga 40 tahun untuk turut serta. Sasaran program adalah melibatkan 300 peserta pada tahun ini.
Permohonan untuk menyertai ‘Sarawak Youth Start-Up’ akan ditutup pada 25 November, manakala program utama dijadualkan berlangsung dari 7 Disember hingga 14 Disember.
Oleh SHAHRUL QAIZAT