KUALA LUMPUR: Program Eksport Perniagaan (BEP) SME Bank Malaysia Bhd (SME Bank) berjaya menarik penyertaan 83 syarikat sejak penubuhannya pada 2020.
Bank itu dalam satu kenyataan hari ini berkata program tersebut berjaya menjana lebih RM192 juta jualan eksport ke pasaran utama global utama termasuk Asia Tenggara, Emiriah Arab Bersatu (UAE), United Kingdom dan Amerika Syarikat.
BEP merupakan initiatif Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan dilaksanakan oleh SME Bank dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia, bertujuan membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) berprestasi tinggi dengan kemahiran tertentu bagi menembusi pasaran antarabangsa.
“PKS yang menyertai initiatif ini perlu menjalani proses saringan yang ketat, latihan dan penilaian prestasi berdasarkan ciri-ciri yang sejajar dengan objektif program,” katanya.
Sementara itu, Menteri KUSKOP Datuk Ewon Benedick berkata, PKS memainkan peranan penting dalam ekonomi Malaysia, menyumbang RM613.1 bilion atau 39.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar pada 2023.
“Kami sentiasa mengalu-alukan inisiatif strategik yang dapat memperkukuh kedudukan PKS kita bukan sahaja di pasaran domestik tetapi juga di peringkat antarabangsa selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030,” katanya. – Bernama