
BINTANGOR: Program Derma Darah anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menderma darah, sempena sambutan peringatan Hari Polis ke-218.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, program tersebut dijayakan dengan kerjasama Unit Tabung Darah Klinik Kesihatan Bintangor di Dewan Pejabat Daerah Meradong bermula pada 9.00 pagi hingga 1.00 petang semalam.
“Program derma darah ini bertujuan menambah bekalan darah di bank darah, khususnya untuk keperluan Hospital Sarikei dan Klinik Kesihatan Bintangor.
“Selain itu, ia juga menggalakkan amalan pendermaan darah secara berkala dan menyasarkan untuk menarik lebih ramai penderma baharu,” katanya ketika ditemui media semasa menghadiri program tersebut petang semalam.
Katanya, sambutan yang diterima amat memberangsangkan dan berharap program tersebut dapat dijadikan acara tahunan untuk IPD Meradong dengan kerjasama Klinik Kesihatan Bintangor.
“Saya berharap program ini dapat meningkatkan kesedaran masyarakat dan menyelamatkan lebih banyak nyawa.
“Semoga lebih ramai penduduk di Meradong hadir menyertai program ini pada masa akan datang untuk membantu pesakit-pesakit yang memerlukan darah,” katanya.
Oleh Earl Anek