
MIRI: Teknologi kecerdasan buatan (AI) menjadi pemacu utama dalam era transformasi digital Sarawak, dengan keperluan ekosistem data yang kukuh dan infrastruktur bersepadu menjadi asas kejayaannya.
Menurut Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, AI tidak boleh berfungsi tanpa data yang mantap dan berintegriti. Justeru, Rangka Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2018 telah menggariskan keperluan membina infrastruktur digital yang selamat, berdaya tahan dan berskala bagi membuka potensi sebenar teknologi ini.
Teks ucapan Abdul Karim dibacakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii semasa Program Celik Kecerdasan Buatan (AI) anjuran SABERKAS Zon Utara yang berlangsung di Libiki Bamboo Resort, di sini, semalam.
“Kerajaan Sarawak sedang menubuhkan Pusat AI sebagai pusat penyelidikan dan penggerak utama integrasi AI dalam pelbagai sektor,” jelas beliau.
Tambahnya, perkara ini turut ditekankan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak 2024, yang menyatakan AI bakal menjadi teras kepada pencapaian ekonomi digital negeri.
Sebagai langkah memperkasa penggunaan AI secara menyeluruh, kerajaan Sarawak turut membentuk Unit AI dalam perkhidmatan awam serta membangunkan pusat data khusus untuk AI, selain melancarkan inisiatif Pembangunan Bakat AI bagi melatih tenaga mahir tempatan.
Satu lagi pencapaian penting yang menjadi kebanggaan negeri ialah pengenalan KETEQ AI, peranti penukar kuasa pertama dunia berasaskan AI yang dibangunkan sepenuhnya oleh anak tempatan Sarawak.
“Dengan slogan ‘Inovasi Sekelip Mata’, KETEQ AI membuktikan keupayaan bakat Sarawak mencipta teknologi bertaraf dunia, sejajar dengan Pelan Hala Tuju Semikonduktor Sarawak 2030,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa KETEQ AI bukan sahaja mencerminkan kemajuan teknologi tempatan, malah meletakkan Sarawak di peta global sebagai hab tenaga pintar dan inovasi digital Asia Tenggara.
Dalam ucapannya, beliau turut menyeru para peserta agar memanfaatkan program ini untuk menyemai minat, memahami asas AI, dan menyebarkan ilmu kepada komuniti, agar pembudayaan teknologi ini dapat berkembang secara menyeluruh.
“Gunakan AI untuk kebaikan, fahami teknologinya agar tidak disalah guna. Kita ingin AI menjadi alat pembangunan, bukan ancaman,” tambahnya.
Oleh Liong Chai Ling