Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Program bantuan lesen memandu B2 Mas Gading ditangguh, 750 peserta terjejas
  • TEMPATAN

Program bantuan lesen memandu B2 Mas Gading ditangguh, 750 peserta terjejas

Utusan Sarawak 4 hours ago
MP Mas Gading Mordi Bimol

BAU: Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol berkata, Majlis Penyerahan Program Bantuan Lesen Memandu B2 Kawasan Parlimen Mas Gading yang dijadualkan berlangsung pada 27 Jun terpaksa ditangguhkan berikutan ketidakpastian mengenai penggunaan lokasi asal program.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas pihak penganjur masih belum menerima sebarang maklum balas atau pengesahan daripada Pejabat Daerah Bau berhubung penggunaan Dewan Datuk Peter Nansian Ngusie di REDEEMS Centre, Kampung Apar Singai.

“Dalam keadaan tiada kepastian mengenai tempat pelaksanaan, adalah tidak wajar untuk meneruskan program yang melibatkan jumlah peserta yang besar serta penyelarasan bersama pelbagai agensi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Foto hiasan. Foto Bernama.

Menurut Mordi, penangguhan itu menjejaskan seramai 750 peserta yang telah mengikuti Program Bantuan Lesen Memandu B2, terdiri daripada golongan belia, pelajar, B40 dan penduduk setempat yang bakal menerima manfaat daripada inisiatif Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Beliau berkata, JPJ Sarawak telah akur dengan penangguhan itu dan mengeluarkan surat rasmi kepada pihak berkaitan, manakala tarikh serta lokasi baharu masih belum dimuktamadkan kerana penyelarasan lanjut sedang dijalankan bersama JPJ Sarawak, Institut Memandu Sematan dan pihak berkaitan.

Mordi berkata, REDEEMS Centre dipilih kerana mempunyai kapasiti, akses dan kemudahan yang sesuai, selain pernah digunakan bagi latihan amali Bahagian 2 dan 3 serta ujian praktikal JPJ sepanjang pelaksanaan program tersebut.

Beliau menjelaskan permohonan bertulis kepada Pejabat Daerah Bau bukan disebabkan kegagalan membuat persediaan awal kerana sebelum ini penggunaan kemudahan REDEEMS Centre dibuat berdasarkan kebenaran dan penyelarasan dengan pihak pengurusan pusat itu tanpa dimaklumkan mengenai keperluan mendapatkan kelulusan daripada Pejabat Daerah Bau.

Katanya, pihak penganjur telah mematuhi permintaan tersebut selepas dimaklumkan oleh pengurusan REDEEMS supaya mengemukakan permohonan bertulis susulan arahan yang diterima.

“Namun persoalan asas masih kekal. Apakah punca kuasa yang membolehkan program kemasyarakatan seperti ini disekat pada saat akhir sedangkan ia melibatkan kepentingan 750 peserta?” katanya.

Beliau berharap REDEEMS akan terus berperanan sebagai sebuah NGO yang berbakti kepada masyarakat, memperkasa komuniti dan membantu rakyat tanpa tekanan yang tidak sewajarnya.

Mordi turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta, keluarga mereka dan pihak yang terlibat atas kesabaran serta kerjasama yang diberikan, sambil menegaskan bahawa program itu tidak dibatalkan tetapi hanya ditangguhkan sehingga tarikh dan lokasi baharu dimuktamadkan.

Oleh Connie Chieng

Continue Reading

Previous: Jalan akses baharu Selangau tingkat perhubungan, pacu ekonomi setempat

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.