SARATOK: Lebih 500 pelajar dari lima sekolah menengah sekitar Saratok dan Kabong menyertai Program Project of Dream Realized (Pro-DR) anjuran Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) yang berlangsung di Dewan Kolej Tingkatan Enam Saratok, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata, program berkenaan merupakan siri ke-11 dan penganjuran kali keempat di Saratok, sekali gus membuktikan komitmen berterusan dalam membuka peluang pendidikan dan kerjaya kepada golongan pelajar.
Menurutnya, program itu menghimpunkan pelajar dari Kolej Tingkatan Enam Saratok, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahasa Malaysia Saratok, SMK Saratok, SMK Kalaka dan SMK Kabong.
“Program Pro-DR merupakan satu jerayawara yang menjadi platform kepada beberapa institusi pengajian tinggi (IPT), agensi kerajaan dan swasta untuk mengadakan pameran serta ceramah berkaitan produk, peranan dan peluang melanjutkan pengajian serta mendapatkan pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Project of Dream Realized (Pro-DR) anjuran TEGAS di Dewan Kolej Tingkatan Enam Saratok, semalam.
Friday berkata, program berkenaan turut memberi peluang kepada pelajar meneroka perkembangan teknologi terkini menerusi permainan dan aktiviti interaktif berasaskan bidang sains serta kecerdasan buatan (AI).
Katanya, pendedahan sedemikian penting bagi membantu pelajar memahami perkembangan teknologi, selain membina keyakinan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang yang mempunyai prospek cerah pada masa hadapan.
“Betapa pentingnya pendidikan, terutama dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang menjadi fokus serta agenda utama kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) seperti yang terkandung dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030),” katanya.

Menurutnya, penekanan terhadap pendidikan STEM juga selaras dengan hala tuju pembangunan ekonomi Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang memberi tumpuan kepada teknologi tinggi dan digital.
Beliau berkata, pendekatan itu penting bagi memacu Sarawak ke arah ekonomi yang mampan dan berpendapatan tinggi menjelang 2030, selain menyediakan generasi muda dengan kemahiran yang diperlukan dalam dunia pekerjaan masa kini.
Dalam pada itu, Friday merakamkan penghargaan kepada TEGAS, agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, pihak sekolah, guru, ibu bapa serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan demi manfaat pelajar di Saratok dan kawasan sekitarnya.
Oleh Adi Safarman





