PILIHAN raya negeri (PRN) Negeri Sembilan memperlihatkan persaingan yang lebih terbuka, kompleks dan sukar diramal berbanding pilihan raya negeri 2023.
Walaupun perhatian umum tertumpu kepada persaingan antara gabungan utama, keputusan sebenar kemungkinan besar ditentukan oleh faktor calon, kekuatan jentera tempatan, tahap pemindahan undi antara parti yang bekerjasama, kadar keluar mengundi serta keupayaan setiap parti membawa pulang pengundi luar.
Dalam konteks ini, Linggi, Chennah dan Ampangan muncul sebagai tiga kerusi paling penting untuk dipantau, manakala Sikamat, Jeram Padang, Lenggeng dan Labu pula melengkapkan gambaran tujuh kerusi tumpuan yang boleh menentukan arah keseluruhan keputusan negeri.
Tujuh kerusi ini mewakili tiga medan politik, iaitu kerusi tradisi UMNO, kerusi campuran yang bergantung pada pemindahan undi rentas kaum, dan kerusi marginal yang ditentukan personaliti calon. Keputusannya akan menunjukkan sama ada pengundi memilih parti, kepimpinan negeri atau pertimbangan tempatan utama.
Linggi dan MB
Linggi merupakan pertandingan paling besar implikasi politiknya. Keputusan Datuk Seri Aminuddin Harun meninggalkan Sikamat, yang diwakilinya selama empat penggal, untuk bertanding di Linggi menjadikan kerusi ini lebih daripada sekadar perebutan kawasan.
Ia merupakan ujian langsung terhadap kewibawaan beliau sebagai Menteri Besar (MB) sementara, rekod pentadbiran PH dan kemampuan gabungan itu menembusi kawasan yang secara tradisinya cenderung kepada UMNO.
BN pula mempertaruhkan penyandang, Datuk Mohd Faizal Ramli, yang mempunyai kelebihan jaringan tempatan, struktur parti dan ingatan politik pengundi terhadap kedudukan Linggi sebagai kerusi tradisi UMNO.

Kehadiran calon Bersatu, Datuk Zamri Md Said, menjadikan persaingan tiga penjuru. Secara teori, Bersatu boleh memecahkan undi Melayu yang mungkin memihak kepada BN atau PN, sekali gus membantu Aminuddin.
Namun, pecahan undi tidak semestinya berlaku secara sekata. BN masih mempunyai jentera akar umbi lebih tersusun, manakala Aminuddin bergantung pada profil peribadi, sokongan pengundi bukan Melayu dan keyakinan bahawa pentadbirannya membawa kestabilan.
Justeru, Linggi kekal 50/50, tetapi sedikit condong kepada BN kerana struktur asas kerusi tersebut. Jika Aminuddin tewas, PH bukan sahaja kehilangan tokoh utamanya, malah terpaksa segera menjawab persoalan mengenai calon Menteri Besar seterusnya sekiranya masih mampu membentuk kerajaan negeri.
Chennah dan Anthony Loke
DUN ini ialah tapak ujian daya tahan sokongan rentas etnik DAP. Anthony Loke mempertahankan kerusi ini dalam pertandingan satu lawan satu menentang calon BN-MCA, Siow Kong Choon. Walaupun DAP menguasai Chennah sejak 2013, majoriti sekitar 2,200 undi pada 2023 tidak cukup besar untuk dianggap kebal.
Pertandingan langsung bermakna tiada lagi pecahan undi yang boleh membantu penyandang. Setiap perubahan kecil dalam sokongan Melayu, Cina, India dan Orang Asli boleh memberi kesan besar kepada keputusan.
Kekuatan PH di Chennah ialah pengaruh peribadi Anthony Loke, rekod beliau sebagai wakil rakyat serta kedudukan nasionalnya sebagai pemimpin utama DAP.
Namun, BN berpotensi memanfaatkan momentum kemenangan di Johor, jentera UMNO di kawasan Melayu dan usaha menghidupkan semula MCA sebagai saluran representasi pengundi Cina.

Sekiranya BN menang, implikasinya melangkaui Negeri Sembilan kerana ia boleh ditafsirkan sebagai tanda bahawa sebahagian pengundi bukan Melayu mula bersedia mempertimbangkan BN semula. Bagaimanapun, berdasarkan kedudukan penyandang dan asas sokongan DAP, Chennah masih 50/50 tetapi condong kepada PH.
DUN Ampangan
Kerusi DUN ini paling sukar diramal. PH hanya menang dengan majoriti 329 undi pada 2023, menjadikannya kerusi paling marginal di negeri itu. Calon PH, Datuk Muhammad Nazri Kassim, berdepan calon PAS, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek, yang pernah menjadi wakil rakyat PKR dan anggota Exco negeri, selain calon Bersatu, Noor’Azah Harun.
Rafie mempunyai jaringan peribadi, status nama dan pengalaman yang boleh mengatasi batas identiti parti. Namun, perpindahan parti turut menimbulkan persoalan sama ada sokongan lama beliau akan kekal atau sebahagian pengundi melihatnya sebagai tidak konsisten.
Kehadiran Bersatu pula boleh memecahkan undi anti-PH, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu bandar dan separa bandar. Pada masa sama, PH masih mempunyai asas PKR dan sokongan pengundi bukan Melayu. Ampangan wajar dilihat sebagai kerusi penanda aras bagi kawasan marginal lain.
Jika PN menang, ia menunjukkan bahawa calon berprofil dan sentimen Melayu bandar mampu mengatasi jentera PH. Jika PH bertahan, ia membuktikan bahawa perpecahan lawan dan kekuatan sokongan rentas kaum masih mencukupi. Buat masa ini, Ampangan kekal 50/50 tetapi sedikit condong kepada PN.
DUN Sikamat
Perpindahan Aminuddin menghilangkan kelebihan penyandang yang selama ini menjadi tonggak PH. Kekosongan tersebut membuka ruang kepada PN untuk memanfaatkan kecenderungan pengundi Melayu dan ketidakpuasan terhadap kerajaan.
Namun, kehadiran Bersatu boleh memecahkan undi yang sepatutnya mengalir kepada PN. Oleh itu, Sikamat terbuka luas, tetapi sedikit condong kepada PN. Kerusi ini juga akan menunjukkan sama ada sokongan kepada Aminuddin selama empat penggal sebenarnya bersifat peribadi atau telah berjaya dipindahkan menjadi sokongan kekal kepada PH.
DUN Jeram Padang
Didapati kerusi ini pula sedikit memihak kepada BN. Kelebihan penyandang, jentera tempatan dan pertandingan empat penjuru memberikan BN laluan lebih baik.
Dalam pertandingan berpecah antara BN, PH, Bersatu dan ASLI, calon tidak memerlukan peratusan undi terlalu tinggi untuk menang. Namun, majoriti dijangka kecil kerana setiap parti memiliki kantung sokongan tersendiri. Labu juga condong kepada BN secara tipis.
Pertandingan tiga penjuru memberi ruang kepada penyandang Bersatu memecahkan undi Melayu, sementara PH boleh bergantung pada pengundi bandar dan bukan Melayu. Walaupun begitu, organisasi BN dan keupayaan menggerakkan pengundi tradisional memberinya sedikit kelebihan.
DUN Lenggeng
Lenggeng ialah kerusi paling selamat untuk BN dalam senarai ini. Jentera UMNO yang kukuh, faktor penyandang dan pertandingan tiga penjuru antara BN, PH dan Bersatu menjadikan undi pencabar lebih mudah terpecah.
Berbanding kerusi lain, BN mempunyai kedudukan struktur paling stabil di Lenggeng. Sebarang kejutan hanya mungkin berlaku sekiranya kadar keluar mengundi penyokong BN merosot dengan ketara atau berlaku gelombang luar biasa pada saat akhir.
Fakor pengundi luar
Ternyata faktor pengundi luar akan menjadi penentu penting. Negeri Sembilan mempunyai 889,490 pengundi berdaftar, meningkat kira-kira 25,000 daripada 864,425 pada 2023.
Hampir satu pertiga kerusi pada 2023 diputuskan dengan majoriti bawah 1,000 undi dan ini bermakna kepulangan atau ketidakhadiran beberapa ratus pengundi luar boleh menukar keputusan, khususnya di Linggi, Ampangan, Sikamat, Labu dan Jeram Padang.
Kedekatan Negeri Sembilan dengan Kuala Lumpur dan Selangor memudahkan pengundi pulang berbanding mereka yang bekerja di Singapura atau lokasi lebih jauh.
Kadar keluar mengundi 2023 hanya 68.35 peratus, sedangkan Suruhanjaya Pilihan Raya menyasarkan antara 72 hingga 75 peratus kali ini. Untuk mencapai sasaran tersebut, mobilisasi pengundi luar mesti berjaya.
Namun, kelompok ini tidak homogen. Pengundi muda luar negeri cenderung kurang terikat kepada jentera tradisional dan lebih dipengaruhi kos sara hidup, peluang pekerjaan, mutu calon, keadaan ekonomi nasional serta kandungan media sosial.
Sebahagian mungkin aktif secara digital tetapi tidak semestinya keluar mengundi. Maka, parti bukan sahaja perlu memenangi persepsi, tetapi juga memastikan penyokong benar-benar pulang.
Rumusan
Secara keseluruhan, jangkaan bagi tujuh kerusi tumpuan ialah BN memenangi empat kerusi, PN dua dan PH satu. Namun, Linggi, Chennah, Sikamat dan Ampangan kekal sangat cair.
Keputusan akhir bergantung pada kadar keluar mengundi, pemindahan undi,sentimen, kesan calon tempatan dan tahap kemampuan Bersatu memecahkan undi Melayu.
Dalam pilihan raya yang seimbang, kemenangan tidak semestinya ditentukan oleh gelombang besar, tetapi oleh beberapa ratus pengundi yang membuat keputusan pada saat akhir.
- Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah ahli akademik di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau kini ialah Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara dan Felo Kanan Akademi Kenegaraan Malaysia.





