BINTULU: Sebanyak sembilan set borang penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Jepak telah dijual Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat hari ini.
Ini disahkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak, Abang Zainuddin Abang Turkey (gambar).
Bagaimanapun, belum diketahui sama ada semua borang itu akan dihantar oleh parti atau individu yang membelinya apabila proses penamaan calon dibuka di Dewan Suarah Bintulu pagi esok.
Setakat ini, tiga calon sudah mengesahkan akan bertanding untuk PRK itu, yang pengundiannya diadakan pada 4 November nanti setelah 14 hari tempoh berkempen.
Gabungan Parti Sarawak (GPS) mencalonkan bekas Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sarawak, Iskandar Turkee, 54.
Beliau dijangka berdepan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) iaitu bekas anggota polis, Stevenson Joseph Sumbang, 42, dan calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi), ahli perniagaan Chieng Lea Phing, 64.
Hari ini, diadakan sesi simulasi proses penamaan calon bagi PRK Jepak di Dewan Suarah Bintulu yang turut dihadiri dua bakal calon iaitu Iskandar dan Stevenson Joseph, manakala Chieng tidak kelihatan.
Dalam pada itu, Abang Zainuddin memberitahu seramai 50 petugas SPR akan ditugaskan pada hari penamaan calon, esok bagi melancarkan proses penamaan calon PRK Jepak.
Seramai 446 petugas SPR pula akan ditugaskan pada hari pengundian 4 November bagi memastikan kelancaran itu.
PRK DUN Jepak diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Talib Zulpilip akibat komplikasi buah pinggang pada 15 September lalu. Talib, 72, adalah penyandang kerusi itu selama enam penggal sejak 1996.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 2021, Talib menang kerusi berkenaan dengan majoriti 4,243 undi menewaskan calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Raba’ah Tudin (2,034 undi), calon Parti Bumi Kenyalang (PBK), Stevenson Joseph Sumbang (587) dan calon Bebas, Tuah Kazan (141).
PRK Jepak adalah yang pertama diadakan di negeri ini selepas PRN-12 yang diadakan pada 18 Disember 2021.
Oleh Shahrul Qaizat