Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Presiden Maldives Mohamed Muizzu akhiri lawatan rasmi ke Malaysia
  • NASIONAL
  • TEMPATAN

Presiden Maldives Mohamed Muizzu akhiri lawatan rasmi ke Malaysia

Utusan Sarawak 3 weeks ago
PRESIDEN Maldives, Dr Mohamed Muizzu memeriksa kawalan kehormatan sebaik tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas menamatkan lawatan rasminya ke Malaysia, hari ini. Dr Mohamed Muizzu menamatkan lawatan rasmi empat hari ke Malaysia yang bermula pada 27 April lalu. Foto BERNAMA

SEPANG: Presiden Maldives Dr Mohamed Muizzu hari ini berlepas pulang selepas menamatkan lawatan rasmi selama empat hari ke Malaysia.

Pesawat Maldivian Airlines yang membawa Muizzu dan delegasinya berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 8.00 pagi.

Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) mengadakan kawalan kehormat dalam satu majlis pelepasan rasmi di Kompleks Bunga Raya pada 7.45 pagi.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, selaku Menteri Pengiring sepanjang lawatan, turut hadir untuk mengucapkan selamat jalan kepada Presiden Maldives dan rombongan beliau.

Muizzu tiba di Malaysia pada Ahad lepas atas undangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini merupakan lawatan rasmi pertama beliau ke negara ini sejak dilantik sebagai Presiden Maldives pada November 2023.
Sepanjang lawatannya, Muizzu menyaksikan pertukaran tiga Memorandum Persefahaman (MoU) dan dua Pertukaran Nota (EoN) yang meliputi sektor pelancongan, kesihatan dan sukan, sebagai langkah memperkukuh kerjasama dua hala demi manfaat bersama.

Dalam sidang media bersama, Muizzu dan Anwar menyatakan persetujuan untuk mempererat kerjasama menerusi kempen “Tahun Melawat Malaysia 2026” serta meneroka potensi peningkatan aliran pelancong antara kedua-dua negara, termasuk dalam bidang Pelancongan Mesra Muslim dan Pelancongan Halal.

Kedua-dua pemimpin turut menzahirkan komitmen bersama dalam memperkukuh perpaduan Ummah dan menegakkan prinsip-prinsip asas Islam, selain menekankan bahawa isu-isu global seperti konflik Palestin harus diselesaikan secara aman dengan menghormati undang-undang antarabangsa serta resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam bidang kepimpinan dan pembangunan negara, Muizzu dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Falsafah (PhD) dalam Kepimpinan Islam dan Pembangunan MADANI oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam satu istiadat konvokesyen khas yang diadakan di kampus Gombak, pada Selasa.

Ijazah tersebut disampaikan oleh Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, selaku Ketua Perlembagaan UIAM.

Lawatan rasmi ini dijangka memperkukuh lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Maldives, terutamanya dalam bidang perdagangan, pelaburan, industri halal, pendidikan, pelancongan, belia dan sukan.

Maldives kini merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Selatan, dengan nilai dagangan mencecah RM862.7 juta (US$189 juta) pada 2024, meningkat daripada RM827.3 juta (US$180.9 juta), berbanding tahun sebelumnya.– Bernama

Continue Reading

Previous: Gangguan seksual perlu diberi perhatian serius – Nancy
Next: Trump rancang pengecualian cukai alat ganti kereta

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.