Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • BISNES
  • Presiden China Xi Jinping diberi sambutan negara di Istana Negara
  • BISNES

Presiden China Xi Jinping diberi sambutan negara di Istana Negara

Utusan Sarawak 3 weeks ago
YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengiringi Presiden China, Xi Jinping pada sambutan negara sempena lawatan negara di Istana Negara, hari ini. Turut sama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. FotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Presiden China Xi Jinping diberi sambutan negara di Istana Negara hari ini sempena Lawatan Negara selama tiga hari bermula semalam atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Sultan Ibrahim berkenan menyambut ketibaan Xi pada 10.30 pagi.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta menteri-menteri Kabinet.

Istiadat sambutan di Dataran Kawad Istana Negara dimulakan dengan persembahan lagu kebangsaan kedua-dua negara oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja disusuli tembakan meriam 21 das daripada 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja.

Presiden China itu kemudian memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) membabitkan empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Perdana Sungai Besi, diketuai Mejar Mohamad Waqiyudin Abd Rahman.

Selesai acara itu Xi kemudian disambut dengan persembahan tarian selamat datang oleh Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara sebagai simbolik penghormatan atas kehadiran Presiden China itu di Istana Negara.

Seri Paduka Baginda kemudian berkenan mengadakan pertemuan bersama Xi serta delegasi China selain menyaksikan majlis persembahan cendera kenangan di Dewan Seri Maharaja.

Xi bersama delegasi turut diraikan serta diberi penghormatan pada Majlis Jamuan Negara dengan keberangkatan bersama Yang di-Pertuan Agong di Dewan Santapan Utama.

Lawatan kali ini menandakan kunjungan rasmi kedua Xi ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun, selepas kunjungan terakhir pada 2013 yang menyaksikan kedua-dua negara meningkatkan hubungan diplomatik kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.

Wisma Putra dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan Xi yang diiringi menteri-menteri kabinet dan pegawai kanan kerajaan juga dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Anwar petang ini, untuk membincangkan kerjasama dua hala serta saling bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Anwar juga akan menganjurkan majlis makan malam rasmi di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya untuk meraikan Xi, hari ini.

Lawatan oleh Xi adalah sebahagian daripada siri Lawatan Negara pertama Presiden China itu pada tahun ini yang turut merangkumi Vietnam dan Kemboja.

Malaysia dan China telah menjalinkan hubungan diplomatik pada 31 Mei 1974. Kedua-dua negara meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik tahun lepas.

Selama 16 tahun berturut-turut sejak 2009, China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia.

Jumlah dagangan antara kedua-dua negara bernilai RM484.12 bilion pada 2024, mewakili 16.8 peratus daripada jumlah keseluruhan dagangan global Malaysia (RM2.88 trilion). – Bernama

Tags: Bisnes

Continue Reading

Previous: Bursa Malaysia dibuka rendah seiring prestasi Wall Street, sentimen berhati-hati
Next: NADI galak penduduk manfaatkan kemudahan digital

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.