KUCHING: Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Sarawak (ACCCIS), Kong Chiong Ung, dilantik sebagai salah seorang daripada enam Naib Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) bagi penggal 2024-2027.
Menurut kenyataan ACCCIS, pelantikan ini dibuat pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ACCCIM ke-78 yang berlangsung di Selangor pada 12 hingga 13 Oktober 2024 lepas.
Katanya, selain Kong, Timbalan Presiden ACCCIS, Dato’ Lau Cheng Kiong, dan Setiausaha Agung ACCCIS, Dato Jonathan Chai Voon Tok, juga berjaya dipilih sebagai ahli Majlis Kebangsaan ACCCIM.
“Pemilihan ini memperkukuh kedudukan Sarawak dalam organisasi kebangsaan tersebut, yang bertindak sebagai payung bagi komuniti perniagaan Cina di seluruh Malaysia,” katanya.
Mesyuarat yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, menyaksikan Datuk Ng Yih Pyng, Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCCCI), dipilih sebulat suara sebagai Presiden ACCCIM yang baharu bagi penggal 2024-2027.