
JAKARTA: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg tiba di Jakarta bersama delegasi kerajaan Sarawak bagi menghadiri Pra-Mesyuarat sempena lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Republik Indonesia serta Rundingan Tahunan Malaysia–Indonesia Ke-13, hari ini.
Premier Sarawak dan rombongan kerajaan Sarawak selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Halim Perdanakusuma pada 11.17 pagi waktu tempatan sebelum meneruskan perjalanan ke Hotel Indonesia Kempinski Jakarta.
Ketibaan beliau di hotel turut diiringi oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan Petros), Dato Ibrahim Baki.
Sepanjang berada di Jakarta, Premier Sarawak dijadualkan menyertai Datuk Seri Anwar dalam beberapa siri program rasmi Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Ketua-Ketua Pengarang Media Indonesia dan Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) selain pertemuan empat mata bersama Presiden Republik Indonesia di Istana Merdeka esok.
Program diteruskan dengan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman dalam bidang kerjasama kesihatan antara Menteri Luar Malaysia dan Menteri Kesihatan Republik Indonesia.
Delegasi kedua-dua negara kemudian dijadual mengadakan mesyuarat rasmi dalam sesi Rundingan Tahunan ke-13 yang menjadi platform penting memperkukuh hubungan dua hala Malaysia–Indonesia.
Selain itu, Abang Johari juga akan menyertai delegasi Malaysia dalam lawatan ke Sekretariat ASEAN di Jakarta bagi menghadiri beberapa acara rasmi termasuk upacara penanaman pokok, sesi bergambar sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, majlis menandatangani buku tetamu dan penyerahan lukisan sebagai simbolik komitmen terhadap kerjasama serantau. -UKAS