KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengakui kemungkinan cadangan pertambahan 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak daripada 82 kepada 99 kerusi tidak sempat dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang berikutan proses persempadanan semula yang perlu dipatuhi.
Beliau berkata, kerajaan negeri akur dengan proses yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), walaupun DUN Sarawak telah meluluskan pindaan undang-undang bagi membolehkan pertambahan jumlah kerusi.
“Kita mengakui dan akur kepada keputusan SPR kerana itu adalah kuasa SPR. Walaupun negeri telah meluluskan undang-undang untuk menambah kerusi, tetapi prosesnya mestilah dikendalikan oleh SPR.
“Ia perlu dipamerkan kepada orang ramai untuk mendapatkan sebarang bantahan, kemudian SPR akan mengkaji maklum balas yang diterima sebelum dipamerkan semula. Proses itu mengambil masa kira-kira enam hingga tujuh bulan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis Penyerahan Peruntukan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Sri Satok di Pusat Kebajikan Datuk Amar Hajah Jumaani, di sini, hari ini.
Mengulas sama ada pertambahan kerusi itu sempat dilaksanakan sebelum PRN akan datang, beliau berkata ia bergantung kepada tempoh mandat kerajaan negeri dan jadual pilihan raya.
“Kita tengoklah bila masa kita mengadakan pilihan raya dan bila tamatnya mandat kita. Kita lihatlah keadaan,” katanya.
Ketika diajukan kemungkinan pilihan raya diadakan dengan kekal menggunakan 82 kerusi DUN, beliau berkata perkara itu bukan menjadi isu.
“Kemungkinan, mungkin rasa saya tidak sempat. Tidak masalah, 82 pun boleh, 99 pun boleh,” katanya.
Menurut beliau, perkara paling utama ialah memastikan kerajaan yang dibentuk terus memperoleh mandat kukuh bagi menjamin kestabilan politik dan kesinambungan dasar pembangunan negeri.
“Apa yang diambil kira ialah kestabilan politik dan juga hala tuju dasar kita. Saya rasa kita telah melaksanakan tugas kita dengan sebaik mungkin.
“Walaupun banyak perkara yang tidak saya janjikan dalam manifesto, tetapi saya telah laksanakan. Antaranya ialah pendidikan tinggi percuma yang memberi manfaat kepada anak-anak Sarawak dan generasi muda pada masa depan,” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof memaklumkan cadangan penambahan 17 kerusi baharu DUN Sarawak dijangka hanya dapat dibentangkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada tahun depan berikutan proses persempadanan semula masih belum selesai.
Beliau berkata, SPR masih perlu melaksanakan beberapa prosedur termasuk mempamerkan cadangan persempadanan kepada orang awam bagi mendapatkan bantahan dan maklum balas sebelum laporan akhir dapat dibentangkan mengikut peruntukan undang-undang.
Perkembangan itu sekali gus menjelaskan kemungkinan Sarawak akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang menggunakan 82 kerusi DUN sedia ada, berbanding 99 kerusi yang dicadangkan melalui penambahan 17 kerusi baharu.

Oleh Shahrul Qaizat