BEBERAPA tahun lalu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah menetapkan matlamat untuk menjadikan Sarawak sebagai peneraju dalam ekonomi hidrogen di Malaysia, dengan rancangan untuk memulakan pengeluaran komersial berskala besar dan eksport hidrogen menjelang 2027.
Bagi merealisasikan hasrat tersebut, kerajaan negeri melalui Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) telah menjalin kerjasama dengan beberapa syarikat Korea Selatan dalam pembangunan hidrogen. Antara syarikat itu termasuk Samsung Engineering, POSCO, dan Lotte Chemical. Selain itu, usaha juga sedang giat dijalankan untuk mempertingkatkan sistem pengangkutan awam melalui pembangunan Sistem Transit Aliran Automasi (ART) yang menggunakan sel bahan api hidrogen. Inisiatif ini dijangka dapat mengurangkan kesan karbon di bandar raya Kuching sebanyak 15 peratus menjelang 2030
Penyimpanan Karbon
Premier Sarawak juga berhasrat untuk menjadikan wilayah tersebut sebagai salah satu kawasan berpotensi di dunia bagi penyerapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS), yang penting dalam mempercepatkan laluan ke arah sifar pelepasan. Premier bertekad agar CCUS tidak hanya terhad kepada aplikasi bahan api fosil, tetapi juga menyumbang kepada pengurangan pelepasan dalam sektor tenaga dan perindustrian serta menyokong peluang ekonomi baharu yang berkaitan dengan pengeluaran hidrogen dan amonia rendah karbon.
Inisiatif ini diperkuatkan dengan kelulusan Rang Undang-Undang Kanun Tanah (Pindaan) 2022, yang memberikan landasan lebih kukuh untuk pembangunan CCUS sebagai teknologi mitigasi yang berkesan menuju ekonomi rendah karbon. Langkah ini selari dengan tindakan Kerajaan Madani yang akan membentangkan rang undang-undang di Parlimen pada akhir tahun ini, bertujuan menjadikan Malaysia bukan sahaja sebagai pemimpin serantau tetapi juga pemimpin global dalam bidang CCUS, dengan usaha kerajaan memastikan peluang ini dapat direbut.
Bagi Kementerian Ekonomi, rang undang-undang ini penting untuk membina satu industri baharu yang menyediakan panduan dari segi kelulusan kawal selia, menetapkan piawaian bagi permohonan industri, dan pada masa sama melindungi kepentingan awam dengan menetapkan liabiliti dan peraturan yang jelas. Dalam konteks nasional, dengan ada kerangka ini akan lebih meyakinkan pelabur untuk datang ke Malaysia, dengan potensi nilai industri ini mencecah RM100 bilion dalam tempoh 20 tahun akan datang.
Strategi Sarawak
Dengan permintaan tinggi sebagai sumber tenaga bersih, Sarawak yakin akan menjadi pengeluar utama tenaga hidrogen hijau di rantau ini. Pembinaan dua loji hidrogen hijau di Sarawak telah dimulakan melalui kerjasama dengan syarikat Jepun dan Korea Selatan, dan dijangka siap sepenuhnya pada 2027. Permintaan terhadap hidrogen hijau semakin berkembang pesat seiring usaha global untuk menyahkarbonkan ekonomi. Dalam konteks semasa, di rantau Asia Pasifik sahaja, permintaan untuk hidrogen hijau dijangka meningkat sebanyak 50 peratus setahun sepanjang dekad yang akan datang.
Terdapat keperluan mendesak untuk mempercepat pembangunan dan pembinaan loji hidrogen hijau, memandangkan pada 2023, jumlah pengeluaran hidrogen hijau meningkat lebih daripada 40 peratus kepada 38 juta tan, yang merangkumi separuh daripada keperluan dunia menjelang 2030. Langkah pantas dalam pembangunan loji hidrogen hijau di Sarawak adalah penting untuk membantu negara berada di landasan yang betul dalam memenuhi komitmen sifar pelepasan bersih menjelang 2050.
Premier Sarawak sering menegaskan bahawa penggunaan hidrogen hijau adalah meluas, termasuk sebagai sumber bahan api untuk pengangkutan, dalam penjanaan kuasa melalui pembakar atau sel bahan api hidrogen (HFC), dan dalam proses perindustrian seperti pengeluaran metanol hijau, ammonia hijau, serta bahan api penerbangan mampan (SAF).
Pengeluaran hidrogen hijau dan cabang ekonominya juga berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan serta merangsang pertumbuhan ekonomi, dengan dianggarkan hidrogen hijau akan menjana sehingga 30 juta pekerjaan menjelang 2050 dan meningkatkan hasil tahunan ekonomi global sebanyak AS$2.5 trilion.
Fungsi Empangan Hidro
Premier melihat potensi Sarawak yang memiliki sumber tenaga boleh diperbaharui yang banyak menerusi empat empangan hidro yang dapat dimanfaatkan untuk penghasilan hidrogen. Matlamat beliau adalah untuk membangunkan teknologi hidrogen dijangka lebih mudah apabila kos penghasilannya berkurangan dengan pengeluaran besar-besaran dilaksanakan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang. Ketika ini beliau sedar bahawa kos untuk menghasilkan hidrogen agak mahal tetapi terdapat kemungkinan akan berkurangan dengan pengeluaran besar-besaran. Inilah seperti situasi penghasilan komputer yang mahal dahulu, namun kini dihasilkan secara massa dan menjadi lebih murah dan boleh terhasil dalam pelbagai bentuk.
Penyelidikan
Premier turut memastikan terdapat penyelidikan dan Pembangunan (R&D) mengenai pengeluaran hidrogen hijau secara besar-besaran daripada kemudahan elektroliser berkuasa hidro untuk melihat potensi menjadi lebih murah dan teknologi untuk sistem juga akan berubah untuk memacu ekonomi Sarawak pada masa depan.
Idea Ekonomi Hidrogen
Dalam satu pertemuan dengan mahasiswa-mahasiswa Sarawak anjuran Persatuan Mahasiswa Sarawak Universiti Malaya yang penulis sebagai penasihat persatuan tersebut, Premier telah berkongsi ‘rahsia’ tentang inisiatif ekonomi hidrogen dengan para pelajar Sarawak di Semenanjung Malaysia. Premier menjelaskan bahawa minatnya terhadap tenaga hidrogen bermula selepas membaca mengenai potensi tenaga tersebut, lalu beliau memohon kebenaran daripada Ketua Menteri Sarawak ketika itu, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem, untuk ke Frankfurt, Jerman, bagi melakukan kajian lanjut.
Di Frankfurt, beliau bertemu dengan pengurusan Air Liquid, sebuah syarikat teknologi yang menjalankan penyelidikan dalam bidang tersebut. Dalam pertemuan itu, beliau bertanya mengenai kemungkinan kereta pada masa hadapan akan dikuasakan oleh air, tetapi tidak mendapat jawapan.
Namun, pada hari kedua, ketika hendak pulang, syarikat tersebut memberikan cenderamata berupa sebuah kereta kecil yang dikuasakan oleh hidrogen. Apabila Premier bertanya mengapa mereka tidak memberitahu lebih awal, pihak syarikat menjelaskan bahawa mereka terkejut dengan soalan beliau yang menunjukkan pemikiran dan wawasan beliau jauh ke hadapan.
Tekad Politik
Sejak itu, Premier terus mengkaji potensi hidrogen secara serius dan setelah menjadi Ketua Menteri, beliau menjadikan hidrogen sebagai sumber tenaga masa depan untuk Sarawak. Premier menyedari potensi besar bidang ini kerana tenaga tersebut dijana melalui ‘kuasa’ air, dan Sarawak mempunyai banyak empangan serta sungai.
Usaha ini juga didorong oleh keperluan global untuk mencari alternatif sumber minyak yang mesra alam, dengan hidrogen muncul sebagai salah satu pilihan yang paling berpotensi, terutama dengan sumber air yang banyak di Empangan Bakun, Empangan Batang Ai dan Murum.
Premier menjelaskan bahawa melalui proses tertentu, hidrogen dapat dihasilkan sebagai bahan api bersih, menjadikan Sarawak wilayah pertama di rantau ini yang berbuat demikian. Inisiatif ini telah menarik perhatian negara luar, sehingga beliau dijemput berkongsi pengalamannya di Rotterdam, Belanda dan di Bangkok, Thailand pada Persidangan Masa Depan Tenaga Asia 2024, serta pada Sidang Kemuncak Hidrogen Asia Pasifik di Brisbane, Australia pada September ini.
Jelaslah bahawa idea ekonomi hidrogen di Sarawak adalah hasil daripada kesungguhan pemimpin yang berwawasan besar untuk memajukan ekonomi Sarawak. Semua usaha ini dilakukan demi kesejahteraan dan masa depan rakyat Sarawak!
- Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).