
SARATOK: Pembangunan prasarana pendidikan yang selesa dan kondusif bagi memastikan anak-anak dapat menuntut ilmu dengan sempurna terus menjadi agenda utama dalam pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri menegaskan bahawa komitmen beliau adalah untuk memastikan setiap institusi pendidikan di kawasannya dilengkapi kemudahan yang memuaskan bagi menyokong ekosistem pembelajaran yang lebih baik.
”Keselesaan dan prasarana yang kondusif untuk anak-anak menuntut ilmu adalah menjadi keutamaan saya dalam merangka pelan pembangunan di kawasan ini,” katanya.
Menurut beliau, antara projek terbaharu yang berjaya disiapkan ialah kerja-kerja menaik taraf kawasan perhimpunan di Dataran Ilmu serta kerja-kerja berkaitan di Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Abdul Rahman menerusi peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).

Projek tersebut telah dilaksanakan mengikut jadual oleh kontraktor yang dilantik melalui proses cabut undi oleh Pejabat Residen Bahagian Betong, sekali gus membuktikan ketelusan dalam pengurusan projek pembangunan setempat.
Mohamad Duri menjelaskan bahawa beliau telah menyenaraikan projek tersebut untuk dilaksanakan pada 2025 dan menzahirkan rasa syukur apabila pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku agensi pelaksana mengesahkan projek itu kini siap sepenuhnya.
Beliau turut menambah bahawa bantuan dan naik taraf infrastruktur diberikan secara bergilir-gilir kepada kesemua 14 sekolah di bawah DUN Kalaka bagi memastikan permohonan dan keperluan asas setiap sekolah dapat dipenuhi dengan adil.
Terdahulu, sesi penyerahan tapak projek RTP yang telah siap itu dihadiri oleh Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kalaka, Kaunselor Kasdi Pandi yang mewakili beliau di SK Abang Abdul Rahman, pagi tadi.
Dalam pada itu, Mohamad Duri merakamkan ucapan penghargaan kepada agensi pelaksana serta semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam memastikan projek tersebut berjalan lancar demi manfaat warga sekolah.
Oleh Adi Safarman