KUCHING: Satu Memorandum Persefahaman (MoU) diantara Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) dan Matroll Solutions telah ditandatangani bagi membuka peluang untuk pelbagai inisiatif pendidikan dan latihan dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).
Majlis telah diadakan pada 17 Julai 2020 di Ibu Pejabat Kemahiran Sarawak di Tabuan Jaya, yang disempurnakan oleh para penandatangan MoU iaitu Pengarah Eksekutif Kemahiran Sarawak Hallman Sabri, dan Pengarah Matroll Solutions, Kuala Lumpur, Loganathan Alagan.
Mengulas mengenai MoU tersebut, Hallman menegaskan sebagai pihak berkepentingan dalam transformasi landskap ekonomi dan digital Sarawak, MoU tersebut merupakan langkah penting untuk Kemahiran Sarawak dan Matroll Sarawak untuk merancang dan mengembangkan program pendidikan dan latihan di STEM dan IR 4.0.
“Program-program ini akan diselaraskan dengan Strategi Pemulihan Ekonomi Pasca Covid -19 sehingga tahun 2030,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau menambah inisiatif mereka yang berterusan adalah untuk mengembangkan tenaga kerja yang tangkas dimana sebahagian besar program baru ini akan dilakukan secara atas talian.
“Dengan pilihan Blended Learning, pelajar atau pelatih akan dapat belajar mengikut kadar mereka sendiri.
“Pendekatan mesra industri ini akan mendorong peningkatan produktiviti di pelbagai sektor industri,” jelasnya.
Beliau turut berkata melalui hubungan dengan Matroll Solutions, ia satu penambahan penting bagi kumpulan rakan teknologi mereka.
“Sejumlah tenaga pengajar kami telah menjalani Kursus Persijilan Train-The-Trainer (TTT) untuk Pelatih STEM.
“Kursus ini merangkumi aspek penting dalam Revolusi Industri 4.0.
“Ini akan menyumbang kepada peningkatan ekosistem pengajaran dan pembelajaran kita, terutama melatih pelajar kita untuk bersedia IR 4.0.
“Ini juga akan menjadi batu loncatan untuk Kemahiran Sarawak untuk menawarkan bengkel STEM yang disesuaikan untuk guru sekolah dan pelajar di Sarawak,” katanya.
Turut hadir sama di majilis MOU itu ialah Timbalan Pengarah Eksekutif Pendidikan, Latihan dan Perkhidmatan Pelajar Kemahiran Sarawak Zakri Md Salleh dan pasukan pengurusan.