PPKLS semarak Hari Sarawak, perkukuh jalinan muhibah di Kabong

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
RABIAH Amit bersama ahli Persatuan Pengusaha Kek Lapis Sarawak (PPKLS) dan Pertubuhan Pembangunan Wanita Sarawak (PPWS) Zon Kabong pada program jalinan muhibah sempena sambutan Hari Sarawak 2026 di Kabong.

KABONG: Persatuan Pengusaha Kek Lapis Sarawak (PPKLS) menyemarakkan sambutan Hari Sarawak 2026 menerusi penganjuran program jalinan muhibah bersama masyarakat di Kabong, sekali gus memperkukuh hubungan komuniti serta mempromosikan kek lapis Sarawak sebagai warisan negeri.

Pengerusi PPKLS, Rabiah Amit berkata, program tersebut dimulakan dengan lawatan muhibah ke Pertubuhan Pembangunan Wanita Sarawak (PPWS) Zon Kabong sebagai usaha merapatkan hubungan antara pengusaha industri makanan tradisi dengan komuniti setempat.

Menurutnya, rombongan PPKLS disambut mesra oleh ahli PPWS Zon Kabong yang diketuai Pengerusinya, Norain Abdullah sebelum kedua-dua pihak menghadiri majlis makan malam barbeku di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong.

“Kami amat menghargai sambutan yang diberikan serta kerjasama daripada PPWS Zon Kabong. Pertemuan ini diharap menjadi titik permulaan kepada kerjasama yang lebih erat melalui penganjuran program dan kelas berkaitan pembuatan kek lapis Sarawak serta produk makanan tradisi lain,” katanya.

Beliau berkata, semangat persaudaraan yang ditunjukkan masyarakat Kabong memberi dorongan kepada PPKLS untuk terus berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam industri kek lapis demi manfaat bersama.

Sempena sambutan Hari Sarawak hari ini, PPKLS turut mengedarkan kek lapis secara percuma kepada orang ramai di sekitar Jambatan Batang Lupar 1 sebagai tanda penghargaan kepada rakyat yang bersama-sama meraikan hari bersejarah negeri ini.

Rabiah berkata, penyertaan persatuan dalam sambutan tersebut bukan sahaja memeriahkan suasana, malah memberi peluang kepada ahlinya mendekati masyarakat daripada pelbagai lapisan sambil memperkenalkan keunikan kek lapis Sarawak.

Beliau turut mengumumkan bahawa program jalinan muhibah seumpama itu akan dijadikan acara tahunan bermula tahun ini sebagai sebahagian daripada usaha mendekatkan PPKLS dengan masyarakat di seluruh Sarawak.

Katanya, inisiatif berkenaan juga diharap mampu memperkukuh industri kek lapis Sarawak sebagai produk warisan negeri di samping menyokong pembangunan ekonomi komuniti luar bandar.

Perpaduan, belia pemacu kemajuan Sarawak

SERIAN: Semangat perpaduan rakyat pelbagai kaum dan penglibatan aktif golongan belia perlu terus diperkukuh bagi memastikan pembangunan Sarawak dapat diteruskan