
IPOH: Politeknik dan kolej komuniti di seluruh negara digalak terus memperkasakan penyertaan pelajar dalam askar wataniah sebagai wadah menyumbang kepada keselamatan negara, kata Timbalan Panglima Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad.
Beliau berkata tenaga muda itu amat diperlukan terutama mereka yang berani, berintegriti dan berdaya tahan sebagai pemimpin masa depan.
“Sebagai penyedia platform Tentera Darat Malaysia melalui Bahagian Pasukan Simpanan akan terus komited menyediakan modul latihan yang relevan, berkualiti dan berkesan.
“Matlamatnya hanyalah satu, iaitu memastikan setiap seorang menerima latihan dan pengalaman ketenteraan paling berharga agar tersedia sebagai perajurit yang sama-sama rela bergadai nyawa demi mempertahankan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Malaysian Polytechnic Territorial Army Annual Camp (MALPTAAC) Siri 17/2026 di Politeknik Ungku Omar (PUO), di sini hari ini.
Mohamad Suria berkata dalam era ancaman keselamatan menjadi semakin kompleks dan melangkaui dimensi tradisional, negara memerlukan modal insan serba boleh dan pelajar politeknik serta kolej komuniti mempunyai ciri keunikan berkenaan.
“Sebagai warga askar wataniah yang kredibel, saudara dan saudari membawa latar belakang TVET serta kepelbagaian bidang kepakaran berkualiti seperti kejuruteraan awam, mekanikal, elektrikal, perdagangan, teknologi maklumat sehinggalah ke bidang hospitaliti.
“Kepada ATM amnya dan tentera darat khasnya, latar belakang serta kepakaran kalian berimpak tinggi dan sangat berharga. Graduan TVET merangkumi lebih 45 peratus daripada tenaga kerja sedang berbakti kepada negara, bayangkan impaknya jika potensi besar ini diledakkan secara aktif melalui pasukan simpanan demi kedaulatan pertiwi,” katanya.
MALPTAAC siri 17/2026 dilaksanakan mulai 1 hingga 15 Jun di PUO dengan hos bersama Rejimen 503 (Askar Wataniah) dengan sokongan Tentera Darat Malaysia serta Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).
Penganjuran tahun ini turut meraikan ulang tahun Ke-25 MALPTAAC menandakan pencapaian penting dalam pembangunan pelajar TVET, manakala PUO dipilih kerana nilai sejarahnya sebagai tuan rumah edisi pertama MALPTAAC, selain memiliki fasiliti lengkap dan keupayaan mengendalikan program berskala besar.
Ia melibatkan 1,000 pelajar dan urus setia dari seluruh Malaysia yang berjaya menamatkan Latihan Kem Tahunan (LKT) melibatkan empat pertandingan (kawad, merentas halangan, ujian menembak dan multi relay) serta latihan tempur dalam kawasan terbina (OBUA).
Sementara itu, Piala Pusingan Keseluruhan Terbaik MALPTAAC Siri 17/2026 dinobatkan kepada PUO sebagai pengiktirafan kerana berjaya menampilkan kecemerlangan menyeluruh dari aspek disiplin, semangat berpasukan, kepimpinan serta pencapaian dalam setiap kategori yang dipertandingkan. – Bernama