KUALA LUMPUR; Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menunggu dasar dan garis panduan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung kebenaran aktiviti pembakaran serta penjualan bungai api dan mercun.
Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata PDRM mengikuti apa jua garis panduan dan dasar yang ditetapkan KDN berikutan pelaksanaan perkara tersebut demi menjamin keselamatan orang ramai.
“Saya baru tahu tentang perkara ini dan saya menunggu apakah dasar daripada KDN berikutan pelaksanaan perkara tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir program Hiking Polis Diraja Malaysia Bersama Komuniti Peringkat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di Taman Persekutuan Bukit Kiara, di sini, hari ini.
Semalam, Bernama melaporkan aktiviti pembakaran serta penjualan bunga api dan mercun dalam negara akan dibenarkan tidak lama lagi, tertakluk kepada peraturan serta garis panduan baharu yang akan dikeluarkan.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dilaporkan berkata perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri dua hari lepas, sebagai antara langkah yang boleh meningkatkan pendapatan negara dan kerajaan akan mengawal aktiviti penjualannya di peringkat sumber iaitu pemborong dan pengimport.
Turut hadir pada program itu Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh serta Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim.
Mengenai acara yang melibatkan kira-kira 200 peserta yang terdiri daripada anggota polis serta masyarakat setempat Bukit Kiara dan wakil penduduk sekitar, Acryl Sani berkata ia merupakan inisiatif pihaknya untuk merapatkan hubungan dengan masyarakat.
Ditanya mengenai isu seorang wanita tidak dibenarkan memasuki balai polis kerana tidak menepati etika pemakaian, beliau berkata kod etika pemakaian ketika berurusan di pejabat kerajaan harus dipatuhi namun ia diberikan kelonggaran sekiranya terdapat sebarang hal kecemasan.
Beliau berkata dalam arahan Ketua Setiausaha Negara, memang ada arahan mengenai tatacara berpakaian apabila berurusan di pejabat kerajaan namun ketua jabatan atau agensi masing-masing dengan budi bicara akan menentukan bentuk tatacara berpakaian yang akan dilaksanakan.
“Pejabat kerajaan ini merupakan pejabat yang ramai orang berurusan. Pelbagai lapisan masyarakat ada di situ, jadi kita ingin menunjukkan kepada masyarakat bahawa jabatan kerajaan ini adalah tempat yang masyarakat berurusan dalam keadaan tertib dan sopan.
“… tetapi dalam keadaan kecemasan, mungkin ia boleh dibuat kelonggaran. Kita harus melihat apa bentuk kecemasan tersebut atau kecemasan itu boleh diberi kelonggaran,” katanya.
Terdapat laporan media, seorang wanita yang mahu membuat laporan polis berikutan kemalangan kereta mendakwa tidak dibenarkan masuk ke balai polis Kajang kerana memakai seluar pendek.
Wanita berkenaan kemudian meminta kakaknya untuk membawakan sepasang seluar panjang dan barulah dibenarkan masuk ke balai itu.
— Bernama.