
BINTULU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan rokok dan minuman keras tanpa cukai dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM59.29 juta dalam dua serbuan berasingan di sekitar Sungai Kemena, Bintulu.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Zainal Abdullah berkata, operasi berkenaan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah IPD Bintulu hasil maklumat risikan pada 12 dan 13 April lalu.
“Serbuan pertama dibuat sekitar 11.15 malam di sebuah kapal di Jeti Sungai Kemena yang mengandungi enam kontena berisi rokok dan minuman keras,” katanya pada sidang media di Pengkalan Polis Marin Wilayah 5 Bintulu hari ini.
Menurut beliau, serbuan kedua pula dilaksanakan di sebuah gudang berhampiran lokasi pertama yang menemui tiga lagi kontena mengandungi barangan sama.
Hasil operasi itu, polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun yang merupakan kapten kapal berkenaan dan kini direman selama lapan hari bagi membantu siasatan.
Secara keseluruhan, sembilan kontena yang mengandungi rokok dan minuman keras tanpa cukai bersama sebuah kapal telah dirampas, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM59.29 juta.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(b) dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki atau menyimpan barang tidak berkastam atau larangan import.
Beliau berkata, kejayaan itu merupakan antara rampasan terbesar di Bintulu tahun ini dan membuktikan keberkesanan operasi bersepadu antara PDRM dan agensi penguatkuasaan lain.
Ujarnya, PDRM akan terus mempergiat tindakan risikan dan penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyeludupan yang menyebabkan ketirisan hasil negara.
Oleh Carolyne Utih