KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia telah membuka kertas siasatan di bawah Akta Hasutan 1948 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penularan video memaparkan Jalur Gemilang diturunkan sebelum diganti dengan bendera Sabah dan Sarawak.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata siasatan awal mendapati insiden itu berlaku di Melbourne, Australia pada 16 Sept lepas kononnya sebagai simbolik penamatan penjajahan Malaysia ke atas kedua-dua negeri serta menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai republik.
“Polis menerima 35 laporan mengenai penyebaran video itu dengan 34 daripadanya dibuat di Sabah dan satu di Kuala Lumpur,” katanya dalam sidang media di Pusat Latihan Polis di sini hari ini.
Beliau berkata siasatan mendapati video itu ditularkan oleh pemilik akaun media sosial beralamat di Sabah yang memiliki dua rekod jenayah membabitkan Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Razarudin berkata lelaki itu sedang dibicarakan di Mahkamah Kota Kinabalu namun bebas dengan ikat jamin sebanyak RM3,000 sementara menunggu sebutan semula kes pada November ini.
“Kita sedang siasat hubungan antara suspek dengan individu yang dirakam melakukan perbuatan berkenaan (menurunkan bendera),” katanya.
Video berdurasi lapan minit 13 saat itu memaparkan tindakan sekumpulan individu menurunkan Jalur Gemilang sebelum menaikkan bendera Sabah dan Sarawak pada paras separuh tiang di depan bangunan Parlimen di Victoria, Melbourne.– BERNAMA