
KUCHING: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung satu video tular yang memaparkan seorang lelaki dipercayai mengasari seorang wanita.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata, pihaknya menerima satu laporan pada 4 Julai 2026 susulan penularan rakaman video berdurasi 0.4 saat itu di media sosial.
Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku sekitar 8.00 malam pada 3 Julai 2026 di ruangan legar sebuah bilik sewa di Metro City, Kuching.
“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dan suspek,” katanya.
Menurut Alexson, kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Beliau menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang boleh menjejaskan siasatan polis.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching atau pegawai penyiasat kes, Sarjan Mancha, di talian 0195958260 bagi membantu siasatan.
Oleh Connie Chieng